NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN Pahang lantik Tuan Ibrahim runding kerjasama bentuk k'jaan negeri


Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man dilantik sebagai wakil Perikatan Nasional (PN) Pahang untuk memulakan rundingan dengan gabungan parti lain bagi membentuk kerajaan Pahang.

Pengerusi PN Pahang, Saifuddin Abdullah berkata, pelantikan ahli dewan undangan negeri (Adun) Cheka itu dibuat Majlis Tertinggi PN hari ini.

"PN Pahang mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di negeri Pahang yang telah memberi kemenangan kepada PN Pahang sehingga kami berada dalam kedudukan untuk membentuk kerajaan negeri.

"Dalam hal ini, Majlis Tertinggi PN melantik Tuan Ibrahim untuk mengetuai rundingan pembentukan kerajaan negeri Pahang.

"PN Pahang akan meneruskan rundingan bagi membentuk kerajaan negeri Pahang seberapa segera," katanya dalam satu kenyataan media di Kuantan, lewat petang tadi.

Kenyataan media ini bagaimanapun dilihat sudah agak terlewat selepas BN dikatakan sudah memulakan rundingan dengan Adun daripada Pakatan Harapan (PH) pagi tadi.

Difahamkan, rundingan antara BN dan PH sudah dimuktamadkan dan satu kenyataan rasmi berkaitan persefahaman antara kedua parti itu akan dikeluarkan pucuk pimpinan parti masing-masing.

Dalam pilihan raya umum ke-15 (PRU15), BN Pahang memiliki 16 kerusi dewan undangan negeri (DUN) manakala PH mempunyai lapan kerusi.

Enam daripadanya adalah DAP manakala dua lagi melalui wakil PKR.

PN pula memiliki 17 kerusi DUN.

Selepas keputusan PRU15 Sabtu lalu, kerajaan Pahang 'tergantung' kerana tidak ada mana-mana gabungan parti memperoleh majoriti mudah bagi membentuk kerajaan.

DUN Pahang mempunyai 42 kerusi dan satu lagi kerusi iaitu DUN Tioman tidak dipertandingkan selepas calon PN, Md Yunus Ramli, 61, meninggal dunia pada awal pagi hari mengundi.

Pengundian bagi kerusi DUN Tioman ditetapkan pada 7 Disember ini oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo