NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PN julang martabat penjawat awam jika menang PRU-15


PERIKATAN Nasional (PN) akan menunaikan 10 tawaran khas kepada penjawat awam di negara ini, sekali gus menjulang martabat mereka jika gabungan parti itu menang pada Pilihan Raya Umum (PRU-15).

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penjawat awam merupakan tulang belakang kepada sesebuah negara.

“Ketika Malaysia getir dilanda wabak Covid-19, penjawat awam termasuk petugas barisan hadapan (frontliner) telah banyak menabur jasa dan bakti mereka bertungkus lumus berkhidmat untuk negara terutama memerangi Covid-19.

“Penjawat awam terutamanya petugas barisan hadapan seperti askar, polis, bomba, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan sebagainya sanggup mempertaruhkan nyawa mereka sendiri.

“Pada masa itu, cuti tahunan mereka turut dibekukan demi melaksanakan tugas kepada negara iaitu menjaga keselamatan dan keamanan rakyat,” katanya menerusi catatan Facebook beliau.

Muhyiddin yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara menjelaskan, jika PN menang PRU-15, beliau berikrar akan menunaikan 10 tawaran khas kepada para penjawat awam.

Pertama adalah pemberian komputer riba kepada semua guru yang berkhidmat di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

“Yang kedua, mengoptimumkan pengambilan bilangan anggota pentadbiran kerajaan persekutuan; selain penjawat awam akan menerima kenaikan gaji tahunan (KGT) RM100 seperti dalam cadangan belanjawan 2023,” katanya

Keempat pula melibatkan kenaikan kadar elaun sara hidup (COLA) RM100 kepada penjawat awam agar selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa.

Selain itu, ujar Muhyiddin lagi, penambahbaikan gred bagi pegawai tentera agar selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa.

Keenam melibatkan pemerkasaan jabatan hal ehwal veteran dengan langkah memantapkan lagi sokongan kebajikan dan kebolehupayaan pesara tentera yang berpencen dan tidak berpencen; dan yang ketujuh adalah perkasakan kemahiran digital melalui latihan berterusan.

Seterusnya, menyelaraskan semula struktur kementerian dan agensi bagi meningkatkan kualiti perkhidmatan dan mengurangkan karenah birokrasi.

Kesembilan pula melibatkan 20 ahli jawatankuasa pembangunan keselamatan kampung bagi menjaga keselamatan penduduk yang tinggal di kawasan kampung.

“Akhir sekali, menambah baik sistem penjawat awam kontrak berkenaan perjawatan dan kebajikan seperti keutamaan mereka akan diserap sebagai kakitangan tetap pada suatu hari nanti,” jelas beliau lagi.

Justeru, beliau mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh anggota pentadbiran kerajaan dan penjawat awam.

“Jasa dan pengorbanan anda semua tak boleh saya lupakan ketika menghadapi zaman yang getir ketika itu,” katanya.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo