NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penyokong bola sepak Terengganu buat kecoh ditahan  


KUALA NERUS:
Seorang penyokong Terengganu FC (TFC) ditahan polis apabila melakukan kekecohan selepas perlawanan separuh akhir Piala Malaysia menentang Selangor, di sini, semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Rohaimi Md. Isa, berkata, insiden berkenaan tercetus apabila 300 penyokong TFC berkumpul di laluan keluar penyokong dan pasukan Selangor, kira-kira pukul 11.30 malam.

Katanya, sekumpulan penyokong kemudian membaling batu dan objek keras ke arah bas yang membawa pemain Selangor mengakibatkan kenderaan itu rosak di bahagian cermin dan tingkap.

“Pada masa itu, pasukan polis menahan seorang lelaki berusia 27 tahun dari Kampung Manir yang sedang melakukan perbuatan terbabit.

“Pihak pengurusan Selangor turut membuat laporan polis di Balai Polis Gong Badak dan kes disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat.

“Selepas pukul 2 pagi, semua bas penyokong Selangor yang diiringi polis telah selamat memasuki Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam perlawanan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin malam tadi, Selangor mara ke final Piala Malaysia dengan agregat 3-2 mengatasi TFC meskipun tewas 0-1 dalam aksi timbal balik kedua.

Perlawanan itu bagaimanapun dicemari insiden melibatkan penyokong TFC yang membaling objek ke arah penyokong Selangor di dalam stadium sebaik wisel penamat ditiupkan pengadil.

Turut tular dalam media sosial beberapa video menunjukkan sekumpulan penyokong TFC melontar batu ke arah bas yang turut dikongsi pemain Selangor, Muhammad Fazly Mazlan di laman Instagram.

Sementara itu, TFC menerusi kenyataan awal mengecam sekeras-kerasnya tindakan tidak bertanggungjawab segelintir penyokongnya yang menjadi punca kekacauan itu berlaku. – UTUSAN




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo