NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen tergantung: Siapa bakal Perdana Menteri?


KEPUTUSAN
Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) telah diketahui. Pakatan Harapan (PH) merupakan blok kuasa terbesar dengan memenangi 82 kerusi dengan memperolehi undi popular terbanyak iaitu 5,823,931 undi (37.97%) daripada jumlah keseluruhan 15,442,007 undi.

Ini diikuti oleh Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 4,667,429 undi (30.24%), Barisan Nasional (BN) 3,433,369 undi (22.42%), Gbungan Parti Sawarak (GPS) 644,202 (4.2%), dan selebihnya lain-lain parti.

Keputusan ini menyebabkan parlimen tergantung, satu keadaan tidak ada kejelasan mengenai siapa yang mempunyai sokongan majoriti bagi mendapat perkenan Agong untuk dilantik sebagai Perdana Menteri.

Perlembagaan tidak mempunyai peruntukan khusus apabila berlakunya parlimen tergantung. Tetapi perlembagaan mempunyai peruntukan yang jelas tentang kuasa baginda Agong untuk melantik perdana menteri. Ini merujuk kepada Perkara 43(2)(a) dan 40(2).

Bagaimana proses pelantikan perdana menteri?

Terdapat dua pilihan. Pertama, membentuk pakatan baru untuk calon perdana menteri mencapai bilangan kerusi yang diperlukan. Kedua, membentuk kerajaan minoriti.

Namun, tatacara membentuk pakatan baru juga tidak mempunyai peraturan khusus di Malaysia. Begitupun, mengikut konvensyen seperti yang diamalkan oleh sistem Westminster dan negara demokrasi matang, baginda Queen atau Ketua Negara akan menjemput ketua parti terbesar untuk mencuba membentuk kerajaan terlebih dahulu.

Ini dilakukan untuk menghormati pilihan majoriti rakyat. Jika dalam kes Malaysia, semestinya PH kerana PH mendapat undi popular terbanyak dan kerusi terbanyak.

Jika ketua parti yang mempunyai kerusi terbanyak gagal membentuk kerajaan, baharulah peluang seterusnya diberikan kepada parti kedua terbesar. Kes seperti ini banyak berlaku di UK, Kanada, Australia, New Zealand, India dan negara demokrasi matang yang lain.

Pilihan kedua ialah ketua parti yang mempunyai kerusi terbanyak membentuk kerajaan minoriti. Ini boleh dicapai dalam bentuk perjanjian keyakinan dan bekalan (CSA).

CSA ini mempunyai dua syarat utama yang perlu dipersetujui oleh parti-parti yang terlibat, iaitu menyokong bajet dan mengelak menyokong undi tidak percaya. Ini penting bagi mengekalkan kestabilan kerajaan.

Baikkah kerajaan minoriti ini?

Seboleh-bolehnya kita mahukan kerajaan campuran seperti yang diusahakan sekarang antara PH + BN + parti lain atau PN + GPS dan parti lain. Ini kerana kerajaan campuran lebih jelas polisi, bentuk kerjasama dan pembahagian Kabinetnya.

Begitupun, jika kerajaan campuran tidak dapat dibentuk oleh ketua parti yang memenangi kerusi terbesar setelah diberi peluang, maka ketua parti terbesar boleh memilih untuk mewujudkan kerajaan minoriti.

Kerajaan minoriti juga ada manfaatnya dengan syarat ia dipimpin oleh ketua parti yang berwibawa dan disokong oleh undi popular rakyat.

Antara manfaatnya ialah kerajaan minoriti akan lebih responsif terhadap tuntutan rakyat dan juga tuntutan parti yang terlibat dalam CSA; akan lebih berakauntabel terhadap rakyat; dan lebih transparens. Ini kerana kerajaan minoriti perlu lebih berkomunikasi dengan parti lain untuk meluluskan sesuatu rang undang-undang dan lainnya.

Bagaimana proses seterusnya?

Perlembagaan jelas tentang kuasa Agong dalam pelantikan perdana menteri. Namun, dalam membuat pelantikan ini, kriteria utama yang perlu dipertimbangkan ialah baginda harus mengelakkan dari mempunyai ‘personal preference’. Baginda mesti berada di atas politik dan mempertimbangkan kepentingan negara.

Apa maksudnya? Maksudnya ialah baginda hendaklah mengambil kira keputusan PRU dan undi popular yang diberikan rakyat kepada parti yang memenangi kerusi terbanyak dengan cara memanggil dan memberi peluang terlebih dahulu kepada ketua PH untuk mencuba membentuk kerajaan.

Selepas selesai proses ini dan perdana menteri dilantik, maka kerajaan baharu hendaklah menguji sokongannya di lantai Dewan bagi mendapat undi percaya. Ini penting kerana dalam sistem demokrasi, undi percaya tidak ditentukan melalui surat akuan sumpah atau temu tanya dengan ahli Parlimen, tetapi ditentukan di lantai Dewan.

Dalam negara demokrasi, legitimasi amat penting. Semoganya proses pemilihan perdana menteri ini berjalan sesuai prosesnya supaya kerajaan yang bakal dibentuk mendapat legitimasi rakyat dan pengikitarafan dunia antarabangsa.

Hanya dengan cara ini, Malaysia boleh pulih dalam usahanya untuk mengatasi krisis ekonomi dan mencapai kestabilan politik.- MalaysiaGazette


Profesor Datuk Dr Mohammad Agus Yusoff
Penganalisis Politik




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo