NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Malapetaka besar' jika BN tak calonkan Adham - Umno Tenggara


Umno bahagian Tenggara dan Kota Tinggi menuntut supaya penyandang ahli parlimen di kawasan itu, Dr Adham Baba dan Halimah Mohamed Sadique, dikekalkan sebagai calon BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ini susulan khabar angin bahawa Adham dan Halimah antara yang akan digugurkan oleh Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi sebagai calon pada PRU kali ini.

Pada sidang media hari ini, Timbalan Ketua Bahagian Umno Tenggara, Nasaruddin Ahmad berkata, Adham adalah satu-satunya pilihan bahagian itu untuk bertanding di kerusi berkenaan.

Dia berkata menteri sains, teknologi dan inovasi itu adalah ahli parlimen yang prihatin terhadap nasib semua kaum serta sangat disenangi rakyat di kawasan itu.

Nasaruddin juga memberi amaran tindakan tidak meletakkan Adham sebagai calon bagi penggal kedua boleh menyebabkan “malapetaka” yang lebih besar.

"Saya amat bimbang sekiranya pengumuman calon yang akan dibuat malam ini, sekiranya nama Adham Baba tak disenaraikan sebagai calon Tenggara, saya risau akan ada malapetaka yang mungkin lebih besar di Tenggara,” katanya.

Turut hadir pada sidang media itu ialah wakil dari MCA dan MIC.

Sementara itu, Sinar Harian melaporkan seramai 40 ketua cawangan Umno di Kota Tinggi menuntut agar Halimah terus mewakili parlimen itu.

Ketua Umno Cawangan Tanjung Sediili, Hashim Muhammad berkata, Kota Tinggi memerlukan pemimpin seperti Halimah untuk berkhidmat kepada mereka

"Datuk Halimah seorang yang akrab dan mesra dengan penduduk di Parlimen Kota Tinggi. Beliau adalah individu yang benar-benar terbukti mampu meneruskan kepimpinan sebagai ahli Parlimen di sini.

"Parlimen Kota Tinggi bukan sahaja memiliki pengundi Melayu yang cukup ramai, tetapi ia juga mewakili masyarakat luar bandar dan peneroka Felda. Kami memerlukan pemimpin seperti Datuk Halimah yang bekerja keras membawa suara penduduk," katanya.

Sebelum ini dikhabarkan naib presiden Umno Mohamed Khaled Nordin akan menggantikan Halimah di Kota Tinggi.

Bulan lalu Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintendan Hussin Zamora dilapor berkata pihaknya sedang mengesan individu dan kumpulan di sebalik enam kain rentang yang dipasang di daerah itu.

Kain rentang itu menggesa Umno supaya mencalonkan anak tempatan di Kota Tinggi.

Salah satu kain rentang itu berbunyi 'Dari Khaled baik Halimah'.

Halimah merupakan ahli parlimen BN sejak 2008 dan berkhidmat selama dua penggal di Tenggara sebelum bertanding di Kota Tinggi pada 2018.

Dia berkhidmat sebagai menteri perpaduan negara ketika pimpinan Muhyiddin Yassin dan Ismail Sabri Yaakob.

Halimah dan Adham adalah antara sekumpulan menteri dan timbalan menteri yang dilaporkan tidak akan dipilih semula pada PRU ini kerana menyokong kepimpinan Ismail Sabri.

The Vibes semalam melaporkan calon BN perlu menandatangani akujanji untuk memberikan mandat kepada Zahid bagi membentuk kabinet jika BN menang PRU akan datang.

Langkah itu diambil walaupun Zahid sebelum ini mengumumkan secara terbuka bahawa Ismail Sabri - yang merupakan naib presiden Umno - sebagai calon perdana menteri daripada BN.

Mereka yang dipercayai turut digugurkan ialah Shahidan Kassim (Arau), Annuar Musa (Ketereh) Noh Omar (Tanjong Karang), Tajuddin Abdul Rahman (Pasir Salak) Zahidi Zainul Abidin (Padang Besar), Mohd Salim Sharif (Jempol) Ismail Abdul Muttalib (Maran) dan Mastura Mohd Yazid (Kuala Kangsar).

BN akan mengumumkan barisan calon PRU15 daripada gabungan itu malam ini.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo