NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malang bagi Malaysia jika berlaku ‘hung Parliament’


KUALA LUMPUR – Lebih 21 juta pengundi berdaftar termasuk tujuh juta pengundi baharu diseru keluar mengundi esok kerana undi anda cukup penting dalam menentukan hala tuju negara lima tahun lagi.

Setiap undi adalah penting untuk menentukan bagaimana kerajaan yang baharu dibentuk nanti dapat menyelesaikan isu-isu ekonomi dengan tuntas, apatah lagi cabaran yang menanti pada tahun depan bukan calang-calang.

Seorang pakar ekonomi berkata, selepas apa yang berlaku pada 2018, pengundi Malaysia perlu bersatu dalam meraikan demokrasi yang diterjemahkan dalam undi pada pilihan raya.

Pembentukan pentadbiran Malaysia perlu mendapatkan mandat kukuh melalui jumlah pengundi – ini membawa maksud rakyat Malaysia yang layak mengundi perlu melunaskan hak dan tanggungjawab mereka.

Menurut beliau, ini selari dengan harapan untuk mendapatkan sebuah kerajaan yang dominan dan kuat, sekali gus mengelakkan berlakunya ‘hung Parliament’.

‘Hung Parliament‘ atau Parlimen tergantung bermaksud tiada mana-mana blok parti politik yang mendapat sekurang-kurangnya 112 kerusi bagi untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah.

Pakar ekonomi ini menambah, rakyat Malaysia perlu mempunyai kesungguhan dan iltizam untuk mengelakkan ‘hung Parlimen’ kerana risikonya sangat besar kepada negara terutama ekonomi.

Banyak episod hitam yang melanda negara selepas PRU14 yang menyaksikan ketidakstabilan kerajaan yang dipilih tidak boleh dibiarkan berulang lagi lantaran itu ‘hung Parliament‘ tidak boleh dibiarkan berlaku.

“Kalau ini (hung Parliament berlaku, ia malang bagi Malaysia kerana operasi negara akan terjejas kerana kita tidak tahu berapa lama yang diperlukan untuk parti-parti membuat mendapat persefahaman membentuk jajaran baharu.

“Kita juga tidak tahu sama ada dasar-dasar atau tadbir urus dapat dilaksanakan dengan mudah dan selesa kerana setiap parti yang bergabung masing-masing ada pandangan masing-masing. Apabila ini berlaku, ia akan menimbulkan kebimbangan kepada pelabur asing dan tempatan, akhirnya akan menjejaskan potensi Malaysia.

“Oleh sebab itu, adalah penting pengundi-pengundi keluar mengundi beramai-ramai bagi memastikan sebuah kerajaan yang dominan dan stabil dapat dibentuk selepas Pilihan Raya Ke-15,” katanya kepada MalaysiaGazette.

Mengulas mengenai Bursa Malaysia yang ditutup tinggi semalam, beliau berkata, prestasi itu banyak didorong oleh faktor luaran, antaranya kenaikan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) berjaya mengawal inflasi.

Selain itu, senario itu turut dipacu oleh dasar sifar Covid-19 oleh China.

Faktor-faktor luar ini berlaku secara kebetulan ketika Malaysia bakal mengadakan pilihan raya umum esok.

Menurut beliau, pada dasarnya pelabur asing sudah tidak ambil kisah senario politik Malaysia kerana pemilikan ekuiti dana asing sudah merosot kepada 20.5 peratus pada Oktober lalu berbanding sebelum PRU14 iaitu 24%.

Meskipun begitu katanya, trend ini boleh berubah dengan syarat politik Malaysia kembali stabil supaya pelabur tidak gusar untuk kembali ke negara ini.

“Ini bukan mustahil jika semua pengundi yang layak menunaikan tanggungjawab mereka kepada negara,” tambah beliau. – MalaysiaGazette





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo