NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lim Guan Eng sedang sabotaj Agenda Bumiputera

November 14, 2022

DALAM ceramah saya di Tambun malam tadi, saya jelaskan mengenai sikap DAP yang sebenar terhadap Agenda Bumiputera. DAP bukan sahaja tidak menyokong malah cuba sabotaj Agenda Bumiputera ketika PH memerintah selama 22 bulan. 

Datuk Seri Azmin pernah dedahkan apa yang Lim Guan Eng sebagai Menteri Kewangan Kerajaan PH buat kepada TERAJU. 

TERAJU adalah sebuah agensi yang bertanggungjawab membimbing syarikat-syarikat Bumiputera untuk maju terutamanya dalam bidang-bidang ekonomi yang berdaya saing. 

Dalam sesi rundingan Bajet 2020, Lim Guan Eng tidak berikan satu sen pun kepada TERAJU. Walhal, dalam RMK-10, TERAJU diberikan siling peruntukan RM2 bilion.

Tindakan Guan Eng ini menyebabkan 200 syarikat Bumiputera terjejas dan 10,000 peluang pekerjaan baharu tidak dapat diwujudkan. 

Satu lagi ialah EKUINAS, iaitu sebuah syarikat milik kerajaan yang ditubuhkan untuk menggalakkan penyertaan Bumiputera dalam sektor-sektor ekonomi yang berdaya saing. Kerajaan menyediakan peruntukan kepada Yayasan Ekuiti Nasional (YEN) dan YEN menyalurkan peruntukan ini kepada EKUINAS.

Pada tahun 2019, Lim Guan Eng menulis surat kepada Tun Mahathir meminta supaya revolving fund EKUINAS berjumlah RM2.4 bilion dikembalikan kepada Kementerian Kewangan dan EKUINAS ditutup. 

Cubaan Lim Guan Eng ini gagal kerana dibantah oleh Datuk Seri Azmin selaku Menteri Hal Ehwal Ekonomi pada masa itu. 

Kerana marah cubaannya menutup EKUINAS gagal, dalam Bajet 2020, Lim Guan Eng hanya menyediakan peruntukan token sebanyak RM100 kepada EKUINAS. 

Apa yang boleh dibuat dengan peruntukan hanya RM100? Sedangkan fungsi EKUINAS ialah untuk menyuntik modal pelaburan dalam sektor strategik dan kompetitif untuk meningkatkan penyertaan Bumiputera dalam rantaian ekonomi bernilai tambah tinggi.

Datuk Seri Azmin beritahu saya beliau terpaksa merayu kepada Tun Mahathir supaya peruntukan kepada TERAJU dan EKUINAS dinaikkan. Ada bukti surat yang ditunjukkan kepada saya. 

Ini adalah satu bentuk sabotaj terhadap Agenda Bumiputera. Jadi jangan tanya saya lagi kenapa saya dan rakan-rakan yang lain tinggalkan PH. 

Saya ingatkan pengundi Tambun supaya jangan undi PH yang dikuasai oleh DAP.

TAN SRI MUHYIDDIN YASSIN
Pengerusi 
PERIKATAN NASIONAL

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo