NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Letih dengan permainan politik, 'Perkara itu jelas, tiada LOA, LOI' nasihat Tengku Zafrul kepada Rafizi


Kuala Lumpur:
Surat bertarikh 27 Oktober yang didedahkan Timbalan Presiden PKR, Mohd Rafizi Ramli kelmarin bukan persetujuan untuk menganugerahkan kontrak kepada sebuah syarikat, sebaliknya adalah kelulusan untuk rundingan dibuat dengan Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa).

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, selepas mendapat kelulusan secara dasar untuk berunding, Kasa selaku kementerian yang bertanggungjawab masih perlu berunding dengan syarikat berkenaan dan akan mengesyorkan langkah seterusnya kepada Kementerian Kewangan.

"Kasa akan membuat perbincangan tentang apa yang diperlukan dan pada masa sama akan membuat penilaian sama ada syarikat itu diluluskan atau tidak yang melibatkan tahap kewangan, teknikal dan sebagainya, sekurang-kurangnya mengambil masa dua hingga tiga bulan.

"Bagi saya, saya percaya ini adalah isu yang dipolitikkan kerana perkara itu clear (jelas), tiada surat setuju terima (LOA) dan surat niat (LOI) (diberikan). Hanya ada kelulusan untuk syarikat terbabit berunding dengan Kasa," katanya.

Justeru, beliau menasihati Mohd Rafizi yang juga calon Pakatan Harapan di Parlimen Pandan untuk terus melaporkan dahulu sebarang salah laku dalam kerajaan kepada pihak berkuasa dan bukannya membuat pendedahan seperti itu.

"Pergilah jumpa polis, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan pihak-pihak yang berkuasa," katanya sambil menambah adalah lebih baik pemimpin membuat pengumuman apa yang mahu dibuat untuk pembangunan demi kebaikan rakyat.

"Itu yang rakyat nak dengar. Saya rasa dalam tempoh tiga hingga empat tahun ini, saya pun ramai kawan-kawan yang letih dengan politik dan ahli politik kerana terlalu banyak berpolitik," katanya.

Kelmarin, Mohd Rafizi mendedahkan satu surat berkenaan projek naik taraf loji bagi kawasan tadahan pembetungan bernilai RM285 juta di Klang Selatan, bertarikh 27 Oktober.

Mohd Rafizi mendakwa projek itu diluluskan 17 hari selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...



No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo