NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes Yayasan Akalbudi: Zahid tarik balik rayuan...

KUALA LUMPUR: Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, menarik balik rayuannya untuk mendapatkan rakaman percakapan beberapa saksi daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dalam kes rasuah membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Pada 9 Mei lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Ahmad Zahid untuk mendapatkan rakaman percakapan saksi kerana saksi boleh terdedah kepada intimidasi sebagai contoh diugut supaya memberikan keterangan berbeza daripada yang terdapat dalam rakaman kenyataan.

Ahmad Zahid kemudian memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi itu pada bulan sama.

Notis pemberhentian rayuan itu difailkan di Mahkamah Rayuan kelmarin.

Seorang peguam yang mewakili Ahmad Zahid ketika dihubungi BERNAMA mengesahkan perkara itu.

Berdasarkan semakan sistem mahkamah, pendengaran itu yang sepatutnya berlangsung 14 November ini telah dilapangkan.

Setakat ini pihak pembelaan sudah memanggil enam saksi termasuk Ahmad Zahid pada perbicaraan kes bela dirinya yang bermula 13 April lalu. Perbicaraan kes itu bersambung 16 Januari tahun depan.

Ahmad Zahid, 69, menghadapi 47 pertuduhan iaitu 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi. – BERNAMA

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo