NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KDNK naik 14% pada suku ketiga bukti pemulihan ekonomi, kata Ismail

Ismail Sabri Yaakob berkata, peningkatan itu didorong pembukaan sektor ekonomi selaras peralihan ke fasa pandemik, selain kejayaan memberangsangkan penggunaan sektor swasta dan pasaran buruh negara. (Gambar Bernama)

BERA: Prestasi keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku ketiga tahun ini yang meningkat kepada 14.2% adalah bukti kejayaan kerajaan memacu pemulihan ekonomi pasca Covid-19, kata Perdana Menteri sementara, Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, ini sekali gus membuktikan tuduhan tidak tepat bahawa kerajaan gagal membawa perubahan kepada ekonomi negara.

Katanya, peningkatan itu juga didorong pembukaan sektor ekonomi selaras peralihan ke fasa pandemik, di samping kejayaan memberangsangkan penggunaan sektor swasta dan pasaran buruh negara.

“Peningkatan 14.2% itu lebih pesat daripada suku kedua 8.9% dan suku pertama sebanyak 5%,” katanya selepas menghadiri program Moh Ngeteh bersama komuniti Orang Asli di Kampung Orang Asli Bongkok di sini.

“Begitu juga dengan kadar pengangguran yang terus menurun, iaitu 3.6% pada Sept lepas berbanding 4.6% pada Ogos 2021 (semasa beliau baru dilantik sebagai perdana menteri.”

Ismail berkata, keyakinan pengguna ditunjukkan dengan jualan perdagangan borong dan runcit yang mencapai RM134 bilion untuk Sept 2022, iaitu peningkatan 23.9% berbanding RM108.1 bilion pada Sept tahun lepas.

“Sektor perniagaan semakin kukuh dengan jualan sektor pembuatan pada Sept 2022 sebanyak RM161.7 bilion, iaitu peningkatan 19.5% berbanding Sept 2021.

“Kerajaan sentiasa memantau perkembangan ekonomi global bagi memastikan impak besar kelembapan ekonomi tidak memberi kesan kepada negara.”

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Nor Shamsiah Mohd Yunus hari ini mengumumkan ekonomi Malaysia berkembang 14.2% pada suku ketiga 2022, dipacu pengembangan berterusan dalam permintaan domestik, pemulihan kukuh pasaran pekerja, eksport elektrik dan elektronik (E&E) serta bukan E&E yang teguh dan sokongan dasar berterusan.

Shamsiah dilaporkan berkata, pertumbuhan itu sebahagiannya didorong kesan asas rendah, berikutan langkah pembendungan ketat pada suku ketiga tahun lepas.


Sumber I FMT Malaysia 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo