NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jika banjir berulang, kami mungkin tak mengundi, kata mangsa

Jalan utama untuk masuk ke Kampung Matang Pasir, Matang, Perak berlubang teruk akibat banjir, menyukarkan kenderaan keluar masuk.

BUKIT GANTANG: Air bah umpama tetamu yang tidak didendang bagi penduduk Kampung Matang Pasir, Matang, Perak. Datang tidak berjemput, pulang tidak dihantar.

Hampir setiap bulan, penduduk di kampung ini sudah lali bermain dengan lumpur apabila musibah banjir menimpa mereka. Yang berbeza hanyalah paras banjir yang mereka hadapi setiap kali musibah itu menjengah.

Bagaimanapun, banjir pada Sabtu lepas dikatakan paling buruk yang pernah mereka hadapi sejak berpuluh tahun lalu. Jika sebelum ini, air banjir hanya sekitar paras lutut, namun bah kali ini meninggi sehingga ke atas paras pinggang.

Tinjauan FMT tiga hari selepas bencana itu mendapati penduduk kampung sibuk membersihkan lumpur tebal yang masih melekat di lantai dan dinding rumah.

-ADVERTISEMENT-
Ads by 

Jalan utama untuk masuk ke kampung juga berlubang teruk, hingga menyukarkan kenderaan keluar masuk. Mujur sekumpulan anak muda jati Bukit Gantang sudi mengerah keringat membersihkan rumah penduduk kampung yang terkesan.

“Beginilah nasib kami, tiada apa yang hendak dihairankan kerana kami dah biasa kena banjir, memang tiap-tiap bulan kena macam ni.

Sekumpulan sukarelawan dari Bukit Gantang mengerah keringat membersihkan rumah penduduk kampung yang terkesan.


“Tapi banjir kali ni paling buruk, lebih paras pinggang,” kata Pak Aziz, salah seorang mangsa.

Pak Aziz, 60, tinggal di kampung berkenaan sejak kecil dan membesar di atas tanah pusaka keluarga bersama adik-beradiknya yang lain. Kampung berkenaan menempatkan kurang 20 keluarga, dengan sebahagian besar mereka terdiri daripada dik-beradik Pak Aziz yang bekerja sebagai nelayan.

Pak Aziz pula membuka kedai makan di sebelah anak sungai Sungai Perak, yang ketika itu masih lagi memperlihatkan paras air tinggi dengan arus deras.

Luahnya, banjir yang dihadapi mereka kurang mendapat perhatian wakil rakyat di kawasan berkenaan, mungkin kerana ia agak terpencil dan penduduknya tidak ramai.

“Masa kami duduk pusat pemindahan sementara (PPS), dapatlah tilam, makanan itu sajalah. Tapi yang lain-lain memang tiada, mungkin sebab kawasan ni kawasan kampung, tiada siapa nak heran,” katanya sugul.

Seorang lagi mangsa banjir, Rozaida Osman berkata, mereka sekeluarga sudah lali dengan musibah menimpa namun banjir buruk kali ini memudarkan semangatnya untuk turun mengundi.

Paras air di anak sungai Sungai Perak masih lagi tinggi dengan arus deras ketika tinjauan FMT.


“Kecewa dan hilang semangat nak mengundi bila tengok rumah dan perkakas elektrik rosak teruk. Rugi tak boleh nak cakap, sebab peti ais, mesin basuh semua tak boleh guna dah.

“Kalau banjir datang lagi, memang kami tak ada ‘mood’ nak pergi mengundi,” kata suri rumah berusia 38 tahun itu.

Rosni Usman, 60, pula berharap bencana banjir yang kerap dihadapi mereka mendapat perhatian pihak kerajaan terutama wakil rakyat yang akan dipilih nanti.

“Banyak kali dah kena, tak boleh nak kira berapa dah kami rugi. Cuma kami minta siapa yang jadi wakil rakyat nanti, buatlah sesuatu,” rayunya.

Banjir kilat yang bermula pada 3 petang Jumaat lepas menenggelamkan beberapa kampung di sekitar Taiping dan Batu Kurau menyebabkan lima PPS dibuka.

Bagaimanapun, semua PPS ditutup selepas dua hari apabila air banjir mulai surut dan penduduk dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo