NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Istana Negara minta senarai calon PM esok sebelum jam 2 petang

KENYATAAN MEDIA

Kuala Lumpur, 20 November 2022 – Adalah dimaklumkan bahawa Istana
Negara telah menerima keputusan rasmi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15),
yang telah berlangsung semalam (19 November 2022), daripada Suruhanjaya
Pilihan Raya Malaysia pada jam 1.15 tengah hari, hari ini.

Dokumen yang telah dikemukakan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya
Malaysia YBhg. Tan Sri Abdul Ghani Salleh jelas menyatakan bahawa tiada
parti politik berjaya memperoleh majoriti mudah kerusi Parlimen untuk
membentuk kerajaan baharu.

Sehubungan dengan itu, menjunjung titah perkenan KDYMM Seri Paduka
Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa
Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah, Istana
Negara telah meminta kerjasama Yang di-Pertua Dewan Rakyat YBhg. Tan Sri
Azhar Azizan Harun memohon kepada ketua parti-parti politik dan ketua
gabungan parti-parti politik yang mempunyai jumlah kerusi yang banyak
untuk memaklumkan kepada pihak Istana Negara mengenai gabungan parti-
parti politik yang telah dipersetujui antara parti-parti politik/gabungan parti-
parti politik berkenaan bagi pembentukan kerajaan baharu pasca PRU15.

Ketua parti-parti politik dan ketua gabungan parti-parti politik tersebut akan
diminta oleh YBhg. Tan Sri Yang di-Pertua Dewan Rakyat untuk memaklumkan
mengenai gabungan parti-parti politik yang telah dipersetujui masing-masing
serta mengemukakan nama seorang ahli Dewan Rakyat yang mendapat
kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat berikutan gabungan parti-parti
politik tersebut untuk menjadi calon Perdana Menteri Malaysia kepada Istana
Negara sebelum jam 2.00 petang, pada hari Isnin, 21 November 2022.

Selaras dengan Perkara 40(2)(a) dan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan
Persekutuan, adalah dimaklumkan juga bahawa titah perkenan dan
keputusan Seri Paduka Baginda berkenaan pembentukan kerajaan baharu
dan pelantikan Perdana Menteri menerusi proses yang telah dijelaskan
adalah muktamad.

Seri Paduka Baginda menasihati rakyat dan ketua parti-parti politik akur dan
menghormati proses demokrasi serta menerima keputusan PRU15 dengan
tenang serta berlapang dada demi menjaga keutuhan negara kerana negara ini umpama harta pusaka di mana para pemimpin adalah pemegang
amanahnya.

Seri Paduka Baginda turut mengingatkan bahawa negara memerlukan
sebuah kerajaan yang stabil, berwibawa dan berintegriti untuk menjaga
kemaslahatan rakyat dan memacu agenda kesejahteraan negara.

Seri Paduka Baginda mengajak rakyat untuk bersama mendoakan semoga
proses pembentukan kerajaan baharu ini dipermudahkan dan berjalan lancar
demi kepentingan dan kemakmuran negara.

Baginda seterusnya turut mengajak rakyat untuk bersama mendoakan
semoga Malaysia dirahmati dan diberkati serta dilindungi daripada sebarang
bentuk bencana dan musibah.

Dato’ Seri Ahmad Fadil Shamsuddin
Datuk Pengelola Bijaya Diraja
Istana Negara

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo