NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ismail Sabri akui kecewa ada rakan Umno tak jadi calon


Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengakui berasa agak kecewa sebelum ini apabila ada rakan dalam kabinet beliau daripada Umno tidak dicalonkan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Naib presiden Umno itu berkata biarpun tidak terpilih, ada dalam kalangan mereka masih kekal setia bersama parti dan bersedia memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) pada PRU15.

“Jasa mereka kita tidak akan lupa lebih-lebih lagi apabila mereka tak dapat bertanding, mereka tidak menentang parti.

“Saya sendiri pun berasa agak kecewa apabila rakan yang merupakan calon boleh menang dan berjasa kepada parti tidak dapat bertanding,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Projek Seksyen Selangau Lebuhraya Pan Borneo Sarawak di Selangau hari ini.

Empat menteri Kabinet Umno yang tidak dicalonkan semula ialah Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Komunikasi dan Multimedia Tan Sri Annuar Musa, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Adham Baba serta Menteri Perpaduan Negara Datuk Halimah Mohamad Saddique.

Shahidan mengambil keputusan bertanding sebagai calon Perikatan Nasional-PAS untuk mempertahan kerusi Parlimen Arau yang dimenanginya dalam PRU14.

Ditanya jika mereka yang tidak dicalonkan semula dan membuktikan kesetiaan kepada parti akan dilantik memegang peranan penting jika BN menang, Ismail Sabri berkata: “Beri kita kemenangan dulu dan kita akan buat keputusan selepas itu.”

- Bernama



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo