NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gelombang besar PAS menang PRU15


KEPUTUSAN Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) mengesahkan ramalan banyak pihak tiada mana-mana gabungan politik yang menang cukup kerusi di Dewan Rakyat.

Barisan Nasional (BN) rugi paling besar sementara PAS paling untung dengan apa yang disebut “tsunami Melayu” dalam sebuah pilihan raya yang mencatatkan jumlah pengundi yang keluar mengundi paling ramai, susulan pelaksanaan had umur layak mengundi baharu 18 tahun dan pendaftaran pengundi secara automatik.

Daripada 220 kerusi Parlimen, Pakatan Harapan (PH) unggul dengan 82 kerusi diikuti Perikatan Nasional (PN) 73 kerusi, BN 30 kerusi, manakala GPS dari Sarawak 22 kerusi dan GRS di Sabah menang 6 kerusi. 

Warisan menang 2 kerusi sementara Parti Bangsa Malaysia (PBM), Muda dan Parti Kesejahteraan Demokratik Masyarakat (KDM) masing-masing satu kerusi. Seorang calon bebas juga menang.

Dua kerusi – Padang Serai dan Baram – akan diketahui keputusannya awal bulan depan.

Keputusan PRU15 ini muncul apabila persiapan yang dibangunkan dengan cukup sabar selama bertahun-tahun bertembung sikap tidak peduli masyarakat serta dua peristiwa – Undi 18 dan Covid-19 – yang menjejaskan BN dan mengaibkan PH.

Dalam satu wawancara dengan The Malaysian Insight, bekas menteri kewangan Daim Zainuddin menyebut PAS tumbuh kuat kerana kesedaran agama yang meningkat dalam kalangan orang Melayu serta lemahnya kepimpinan parti-parti Melayu.

“Jika kita tidak hati-hati, PAS akan dapat lebih banyak kerusi,” katanya Julai lepas.

Beliau berpandangan tiadanya kesatuan dalam Umno dan PH akan menyebabkan pengundi lari kepada PAS.

Menurut Daim, PAS dan Islam versinya jadi tarikan pada orang Melayu kerana apabila mereka tidak pasti, mereka condong untuk berpaling kepada agama.

“Apabila orang Melayu makin tua, mereka mula ingat kepada Allah dan PAS jadi penyelamat mereka,” tambahnya.

PAS dan Islam versinya jadi tarikan pada orang Melayu kerana apabila mereka tidak pasti, mereka condong untuk berpaling kepada agama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.
PAS dan Islam versinya jadi tarikan pada orang Melayu kerana apabila mereka tidak pasti, mereka condong untuk berpaling kepada agama.– Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

Terlepas daripada kenyataan Daim, PAS sejak awal sudah menegakkan sekolah agama yang memenuhi keperluan orang Melayu di kampung serta sesetengah yang di bandar. Ia di depan dalam menyebarkan fahamannya tentang Islam dan politik.

Sekolah tahfiz seperti ini juga banyak disokong dan dibuka oleh Muslim yang kembali kepada agama selepas bertahun-tahun hidup bersuka ria.

Umno yang berkuasa sejak Merdeka hanya memberi tumpuan pada sekolah kebangsaan sementara sekolah agamanya tidak boleh menandingi yang digerakkan oleh mereka.

Perintah kawalan pergerakan ketika permulaan dan kemudian kemuncak pandemik Covid-19 pada 2020 juga menyebabkan anak-anak duduk di rumah dan menggunakan internet sama ada untuk bermain atau semakin menekuni agama.

Itu berlaku selepas gerakan Undi 18 yang bermula setelah PH menang pilihan raya 2018. Membenarkan pendaftaran secara automatik pengundi berumur 18 tahun bermula pada 2020 bermakna melahirkan kumpulan pengundi tanpa sebarang pendidikan politik, yang mengharungi pandemik dan peralihan kerajaan hasil Langkah Sheraton yang menghasilkan kerajaan PN yang disertai PAS.

Dengan kebangkitan PAS di peringkat nasional dan pengaruhnya dalam kerajaan Ismail Sabri Yaakob, PAS menguasai agensi Islam persekutuan untuk mengembangkan pengaruhnya ke serata negara.

Apabila Ismail Sabri tunduk pada tekanan partinya untuk mengadakan pilihan raya lebih awal, badai itu pun lengkap.

Tuntutan Umno supaya PAS menarik diri daripada PN dan memutuskan hubungan dengan Bersatu menolak parti Islam itu lebih dekat dengan Muhyiddin. PAS bertegas mahu menggunakan lambangnya di pantai timur Semenanjung tetapi sedia memakai lambang PN di pantai barat untuk menarik sokongan mereka yang bimbang akan pendirian suci parti itu.

Pengundi muda dari aliran pendidikan agama dan mereka yang menghabiskan masa semasa perintah kawalan pergerakan untuk jadi lebih warak menjadi kumpulan pengundi PAS, yang berkempen atas wibawa Islamnya serta antirasuah.

PAS mengambil kesempatan untuk meluaskan pengaruhnya dan berkempen melalui media sosial. Ia mendekati khalayak yang lebih ramai terutamanya mereka yang hilang percaya kepada Umno yang terpalit rasuah dan krisis dalaman sehingga beberapa pemimpin utamanya digugurkan daripada bertanding pilihan raya ini.

Dalam tempoh dua minggu lalu, dengan dana pilihan raya PN dan sosial media, jentera akar umbi PAS hanya berkempen di kawasan luar bandar dan separa bandar untuk merebut kerusi dari Umno dan PKR.

Dr Mahathir Mohamad antara nama besar yang tewas dalam PRU15 kepada calon Perikatan Nasional di kerusi Parlimen Langkawi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.
Dr Mahathir Mohamad antara nama besar yang tewas dalam PRU15 kepada calon Perikatan Nasional di kerusi Parlimen Langkawi. – Gambar fail The Malaysian Insight, 20 November, 2022.

Ini membawa kepada kejayaan PAS muncul mengalahkan beberapa nama besar, antaranya Nurul Izzah Anwar di Pulau Pinang, Dr Mahathir Mohamad di Langkawi dan Tengku Razaleigh Hamzah di Kelantan.

Kejayaan PAS ini menjadikannya sekutu yang berpengaruh dan dominan dan mempunyai suara lantang dalam pembentukan kerajaan gabungan pada masa akan datang.

PAS akan berhati-hati untuk tidak mendesak jawatan utama namun kedudukannya dalam kerajaan persekutuan hanya akan mengukuhkan lagi pengaruhnya untuk beberapa dekad akan datang.

Dari sisi lain, beliau yang ke sekolah kebangsaan dan menerima biasiswa adalah minoriti berbanding mereka yang ke sekolah agama. Ramai dalam kalangan mereka yang lebih tertarik pada Muda atau PKR berbanding Umno yang masih diketuai pemimpin dari era Mahathir.

Umno perlu mengetengahkan bakat baharu untuk meremajakan parti, bersaing dengan PAS atau Muda.

Tetapi itu akan mengambil masa bertahun-tahun lagi. Daim ada menyebut perlu lebih kurang sedekad sebelum ada kerajaan atau kepimpinan yang boleh memecahkan batas kaum dan agama.

Setakat ini, tsunami Melayu semalam bermakna PAS kini antara teraju utama dan jadi penentu untuk membentuk sebuah kerajaan impiannya. – 20 November, 2022.

Jahabar Sadiq




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo