NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gangguan LRT: Wee tak tolak kemungkinan sabotaj


Menteri Pengangkutan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong hari ini tidak menolak kemungkinan terdapat unsur sabotaj sehingga menyebabkan gangguan perkhidmatan transit aliran ringan (LRT).

Wee berkata beliau telah berbincang dengan Prasarana Malaysia Bhd (Prasarana) pada Rabu lepas untuk melihat punca masalah itu secara menyeluruh dan bukan hanya terhad kepada aspek teknikal.

"Setakat ini, disebabkan masalah sistem dan signal. Bagaimanapun, kerajaan dan Prasarana telah ambil keputusan untuk melantik syarikat perunding bebas WSP yang disegani di peringkat antarabangsa untuk menjadi konsultan bagi melihat semua aspek termasuk apa yang dinyatakan (unsur sabotaj)," katanya dalam sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan sebuah portal berita yang menyatakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Prasarana Datuk Ridza Abdoh Salleh mendakwa terdapat kemungkinan punca gangguan perkhidmatan bagi LRT laluan Kelana Jaya disebabkan unsur sabotaj.

Pada 8 Nov, Rapid Rail memaklumkan perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya mengalami gangguan dan terpaksa dihentikan berpunca daripada sistem kawalan tren automatik (ATC) yang menyebabkan kehilangan signal antara pusat kawalan dengan tren.

Keesokannya, Prasarana mengumumkan sebahagian perkhidmatan LRT laluan Kelana Jaya digantung operasi selama tujuh hari hingga 15 Nov ini yang membabitkan 16 stesen dari stesen Kelana Jaya hingga Ampang Park.

Gangguan itu telah menjejaskan kira-kira 200,000 pengguna yang terpaksa beralih kepada kaedah pengangkutan lain bagi urusan harian serta menyaksikan trafik di ibu kota semakin sesak terutama pada waktu puncak.

Wee berkata punca yang dikenal pasti kepada gangguan ialah Vehicle Control Centre (VCC) dan Signalling Management Centre (SMC).

Beliau berkata modem dan peranti untuk bekalan elektrik telah ditukar malah penggunaan peralatan diagnostik pengilang asal (OEM) daripada Thales Group telah membuktikan sistem kembali stabil setakat ini.

Dalam pada itu, Wee berkata Lembaga Pengarah Prasarana telah meluluskan peruntukan RM150 juta untuk menggantikan sistem kawalan tren automatik selepas insiden pelanggaran LRT laluan Kelana Jaya pada 24 Mei.

Beliau berkata proses perolehan sedang berjalan dan memerlukan 30 bulan mengikut perancangan yang bertujuan meningkatkan kualiti perkhidmatan serta menjamin keselamatan pengguna.


- Bernama



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo