NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Calon Parlimen Hulu Terengganu PKR-PH ‘balik awal’?


MALAM kelmarin, sekitar pukul 11.45 malam, iaitu hari Jumaat, seorang sahabat penulis yang merupakan tokoh sastera veteran mengucapkan tahniah kepada salah seorang ahli group, juga orang kuat persatuan sastera di Terengganu.

“Tahniah kepada saudara Alias Ismail kerana dipilih sebagai calon Pakatan Harapan  (PH) di bawah Parti Keadilan Rakyat  (PKR) untuk kerusi Parlimen Hulu Terengganu”, tulis   S M Noor.

Pada mulanya tulisan tersebut tiada sebarang reaksi daripada kawan-kawan lain, begitu juga penulis.

Tidak lama kemudian S M Noor mengirim pula video pengumuman calon-calon PKR  oleh Pengerusi PH Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas, Ampang Selangor pada malam tersebut.

Alias Ismail (kiri) bersama calon Setiu, Mohamad Ngah (tengah) dan calon Dungun, Mohd Johari Mohamad (kanan)

Susulan itu, barulah kawan-kawan lain mula memberi reaksi masing-masing.

Ada yang ucapkan tahniah, ada yang bertanya sejak bila cikgu Alias (panggilan mesra untuk Alias) melibatkan diri dalam politik?

Malah, ada juga sahabat secara ‘direct’ berpandangan  dengan mengeluarkan perkataan ‘balik awal’.

Malah, bukan sahaja Alias, kesemua empat calon PKR-PH yang diumumkan Anwar bagi kerusi Hulu Terengganu, Kemaman, Dungun dan Kuala Nerus dijangka ‘balik awal’  dan hilang wang pertaruhan.

Ini kerana kebanyakan calon terbabit dikatakan masih terlalu baharu dan begitu mentah dalam bidang politik.

Penulis akui mereka ini memiliki akademik dan kepakaran terbaik dalam bidang pekerjaan masing-masing, namun ramai pengundi setempat tidak mengenali nama mereka.

Cabaran besar dan laluan berliku bakal dihadapi Alias apabila beliau bakal berhadapan dengan dua tokoh hebat daripada Perikatan Nasional (PN), Datuk Rosol Wahid dan Datuk Rozi Mamat daripada Barisan Nasional (BN) di kerusi Parlimen Hulu Terengganu pada PRU15 kali ini.

Pada PRU14 lalu, Rosol yang ketika itu mewakili BN menang dengan majoriti 2,868 undi.

Rosol yang memperoleh 30,925 undi berjaya menewaskan calon Pas Muhyidin Abdul Rashid  (28,057 undi) dan Datuk Razali Idris (Bersatu-Pakatan Rakyat) yang hanya mendapat 3,364 undi dan hilang deposit.

Sebelum ini penulis mengenali Alias,54, ketika beliau menjadi pemberita sambilan untuk beberapa akhbar di Terengganu.

Selain itu beliau yang kini bertugas sebagai pakar bahasa di Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Hulu Terengganu juga bergiat aktif dalam penulisan kreatif khususnya cerpen.

Sepanjang berkawan dengan Alias, penulis tidak pernah mengetahui beliau turut terbabit dalam bidang politik.

Untuk mendapat kepastian, penulis terus mengirim WashApp kepada Alias bertanyakan tentang perkara tersebut.

Beliau mengakui tentang pencalonannya disamping mengesahkan turut terlibat dalam bidang politik  secara senyap-senyap tanpa pengetahuan rakan-rakan.

“Gerakan secara senyap boss, gerakan mesti kemas, sampai masa barulah kita tonjolkan kekuatan”, tulisnya.

Pada Jumaat lalu,  Alias merupakan antara  calon daripada PKR yang diumumkan akan bertanding di kerusi Parlimen Hulu Terengganu dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15), 19 November ini.

Beliau yang merupakan lulusan Universiti Malaya (UM) dan Universiti Utara Malaysia (UUM) juga merupakan Ketua Penerangan PKR Terengganu serta Naib Ketua Cabang 2 Hulu Terengganu.

Selain Alias, tiga lagi calon PKR merupakan Naib Ketua Cabang Kuala Nerus, Mohamad Ngah, 69, akan bertanding di Parlimen Setiu dan Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu, Mohd. Johari Mohamad, 51, bertanding di Parlimen Dungun.  

Seorang lagi yang dicalonkan ialah Hasuni Sudin, 59, yang merupakan Ahli Jawatankuasa PKR Cabang Kemaman akan bertanding di kerusi Parlimen Kemaman.

Manakala empat lagi kerusi Parlimen  iaitu Besut, Kuala Terengganu, Marang dan Kuala Nerus, calon PH akan diwakili Parti Amanah.

Kesemua calon PKR-PH ini bakal berhadapan tugas getir kerana terpaksa bersaing dengan calon  penyandang daripada Pas-PN dan juga BN.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo