NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ahmad Zahid perlu berundur secara terhormat - Shahidan


KANGAR:
Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi digesa berundur secara terhormat bagi memberi laluan kepada Datuk Seri Ismail Sabri menerajui parti itu ekoran kekalahan teruk BN pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, gesaan itu bagi mempercepatkan kerjasama antara Perikatan Nasional (PN), BN dan Gabungan Parti Sarawak (GPS) membentuk kerajaan Pusat.

Menurutnya, gabungan berasaskan pembentukkan politik lebih stabil itu perlu berlaku serta-merta.

"Esok (Ahad) ada mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO dan Biro Politik, jadi saya rasa mereka patut meminta Ahmad Zahid berhenti secara terhormat.

"Dulu pada 2018, beliau telah meminta Datuk Seri Najib Razak (ketika itu Presiden UMNO) undur diri sewaktu BN kalah.

"Najib undur diri dan pada kali ini, MKT patut minta Ahmad Zahid undur diri. Dia masih ahli Parlimen dan teruskanlah menyokong parti," katanya Kompleks Pas Perlis, di sini awal pagi ini.

Pada PRU15 kali ini, Shahidan memperoleh kemenangan yang membanggakan apabila menewaskan calon BN, Datuk Rozabil Abdul Rahman dan calon muda Pakatan Harapan (PH), Fathin Amelina Fazlie dengan majoriti sebanyak 23,216 undi.

Shahidan memberitahu, UMNO di bawah kepimpinan Ismail Sabri dilihat akan membawa kepada hasil perbincangan yang lebih baik antara PN, BN dan GPS.

"Saya tidak mahu kata lebih-lebih kepada Ahmad Zahid, cuma minta beliau bagi peluang kepada Ismail Sabri untuk memangku kepimpinan UMNO bagi mendapatkan hasil perbincangan lebih baik.

"Wadah perjuangan UMNO untuk orang Melayu sama dengan PN. Yang lain-lain itu, tunggulah. Kita nak berkawan balik (dengan BN), kalau tidak kita susah nak tubuh kerajaan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Shahidan menyifatkan kemenangan PN di Perlis adalah satu tanggungjawab besar yang perlu dipikul gabungan tersebut.

"Bagaimanapun saya yakin PN akan menjadi kerajaan (negeri) yang baik. Muka-muka segar dalam PN akan membawa pembaharuan kepada pentadbiran kerajaan negeri," ujarnya. - Sinar Harian

............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo