NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

UMNO Melaka kata tak perlu usul Ismail Sabri calon PM


MASJID TANAH:
UMNO Bahagian Masjid Tanah tidak perlu membawa usul Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kekal sebagai Perdana Menteri, selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) kerana nama beliau sudah diputuskan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) pada April lalu.

Ketua UMNO bahagian itu, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh, berkata UMNO bahagian berkenaan sekadar mematuhi keputusan itu tanpa perlu membawa usul yang sama pada Persidangan UMNO Bahagian Masjid Tanah hari ini.

“Kita tak perlu bawa usul itu kerana ia sudah diputuskan dalam MKT. Mengapa kita nak bawa lagi?

“Kita ikut sahaja keputusan itu,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan persidangan itu di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, dilaporkan berkata, MKT UMNO yang bermesyuarat pada 14 April lalu sebulat suara memutuskan Ismail Sabri menjadi calon Perdana Menteri pada PRU-15.

Katanya, kesepakatan itu antara beberapa perkara diputuskan pada Mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Ab Rauf yang juga Pengerusi Perhubungan UMNO dan Barisan Nasional (BN) Melaka berkata, antara usul yang dibawa pada persidangan itu ialah mengemuka cadangan kepada kerajaan supaya seorang daripada Ahli Parlimen BN di negeri ini dilantik sebagai menteri penuh dalam manifesto BN negeri.

Katanya, sebelum ini hanya dua Ahli Parlimen BN Melaka pernah dilantik sebagai menteri penuh, iaitu Allahyarham Tun Abdul Ghafar Baba dan Allahyarham Datuk Seri Adib Adam.

Selain itu, beliau berkata, UMNO bahagian berkenaan juga membawa usul meminta kerajaan meneliti cadangan pembinaan jambatan dan terowong dasar laut menghubungkan Melaka dengan Dumai di Sumatera.

Terdahulu, ketika berucap, Ab Rauf menegaskan, UMNO dan BN harus mengekalkan kerusi Parlimen Masjid Tanah dengan menewaskan calon lawan, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin yang menang pada PRU-14 atas tiket UMNO dan BN tetapi melompat ke BERSATU.

Selain itu, katanya, UMNO dan BN juga harus mengekalkan Parlimen Jasin yang dimenangi BN pada PRU-14, selain merampas semula Parlimen Tangga Batu, Hang Tuah Jaya dan Alor Gajah yang dikuasai Pakatan Harapan (PH) pada 2018.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo