NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tun M Persoal Mengapa Tiada Tindakan Terhadap Apandi


SHAH ALAM
– Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mempersoalkan mengapa sehingga kini tiada sebarang siasatan atau tindakan diambil terhadap bekas Peguam Negara, Tan Sri Apandi Ali yang jelas melakukan pelabagai kesalahan.

Beliau berkata, kesalahan melepaskan Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tindakan undang-undang juga menunjukkan Apandi terbabit dalam menutup skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Bagaimana boleh Apandi sebagai Peguam Negara dengan mudah melepaskan Najib sedangkan sembilan hakim bermula dengan seorang hakim mahkamah tinggi, tiga hakim mahkamah rayuan dan lima hakim Mahkamah Persekutuan, kesemuanya mendapati Najib bersalah.

“Bahkan seorang lagi Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Azimah Omar, pada 23 Mei 2022 dalam penghakiman bertulisnya sebanyak 100 muka surat, yang menolak saman fitnah Apandi terhadap pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang telah menyimpulkan bahawa Apandi, antara lain ialah seorang penipu dan gagal melaksanakan tugas sebagai Peguam Negara.

Apandi turut ada asas untuk disiasat kerana disyaki bersubahat dan melindungi jenayah 1MDB, malah penghakiman sama turut mempersoal sikap dan tindakan Apandi yang bersungguh-sungguh menutup skandal 1MDB dan menyucikan Najib.

“Apandi juga menolak bantuan undang-undang bersama daripada pihak berkuasa Switzerland dan juga Jabatan Keadilan Amerika Syarikat (DOJ) sedangkan dia sedar bantuan mereka diperlukan untuk siasatan 1MDB,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.

Ujar Pengerusi Penaja Gerakan Tanah Air (GTA) itu, Azimah turut menyatakan rasa meluat mahkamah terhadap betapa kejinya kenyataan Apandi yang bercanggah, mengelak dan melakukan penipuan yang jelas.

Jelasnya, susulan kenyataan Azimah, banyak laporan polis telah dibuat terhadap Apandi namun tiada sebarang tindakan diambil.

“Sebaliknya Apandi diberi pampasan jutaan ringgit oleh kerajaan kerana telah menamatkan perkhidmatannya ekoran gagal menjalankan tugas.

“Tidak cukup dengan pampasan, Apandi yang telah didapati oleh Mahkamah Tinggi sebagai seorang penipu dan perlu disiasat kerana disyaki bersubahat dalam skandal 1MDB telah dilantik mengetuai jawatankuasa siasatan tuntutan Pulau Batu Puteh,” tambahnya.

Mengulas mengenai siasatan terhadap buku memoir bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas bertajuk My Story: Justice in the Wilderness, Dr Mahathir mengakui beliau tidak mempunyai sebarang halangan atas siasatan itu.

“Jika dirasa ada asas terhadap tuduhan yang dibuat terhadapnya ataupun sesiapa sahaja termasuk saya, undang-undang ada untuk tindakan seterusnya,” katanya.

-Sinar Harian



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo