NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Terengganu berhutang sebanyak RM267 juta, tetapi Kerajaan Pusat berhutang dengan Terengganu RM1.43 bilion

Kuala Terengganu: Kerajaan Persekutuan masih berhutang dengan Terengganu sebanyak RM1.43 bilion bagi pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2).

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ketika ini, kerajaan negeri sedang berunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi mendapatkan semula wang kerajaan negeri yang digunakan untuk projek berkenaan.

"Keadaan terkini ada dinyatakan menerusi satu surat ditandatangani oleh seorang individu di Kementerian Kewangan yang beranggapan Kerajaan Persekutuan tidak mempunyai apa-apa hutang dengan kerajaan negeri sehingga 2021.

"Namun, kerajaan negeri berpandangan masih ada urusan kewangan yang belum diselesaikan Kerajaan Persekutuan.

"Apa yang ada dalam makluman kerajaan negeri ia sudah dipersetujui dan ada kertas kabinet pada waktu itu yang memberi kelulusan pembayaran balik kepada kerajaan negeri.

"Ia dapat dilihat apabila sejumlahnya telah diberikan dalam bentuk 'in-kind' kepada kerajaan negeri yang sekiranya tidak bayar 'in-kind itu mestilah tidak mengiktiraf sebagai satu hutang dan Insha Allah, kita komited untuk terus berusaha memastikan baki itu diperoleh kerajaan negeri," katanya ketika sesi soal jawab Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Ahmad Samsuri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Rhu Rendang berkata demikian bagi menjawab pertanyaan Wan Hapandi Wan Nik (Pas-Sura) mengenai hutang Kerajaan Persekutuan dengan kerajaan negeri sehingga 2021.

Menjawab soalan tambahan Adun Telemong, Datuk Rozi Mamat mengenai persetujuan Kerajaan Persekutuan membayar sejumlah hutang kepada kerajaan negeri setiap tahun, Ahmad Samsuri berkata, kerajaan negeri sedang berusaha memperoleh pembayaran LPT2 daripada Kerajaan Persekutuan.

"Apa yang dibangkitkan adalah pembayaran LPT1 yang mana pembayaran LPT1 berjumlah kira-kira RM200 juta itu berakhir tahun lalu.

"Sebab itu kita sedang berusaha memperoleh pembayaran LPT2 daripada Kerajaan Persekutuan," katanya.

Untuk rekod, jumlah sebenar yang dibiayai Kerajaan Negeri Terengganu bagi pembinaan lebuh raya itu ialah sebanyak RM1.85 bilion, manakala jumlah yang sudah disalurkan kepada kerajaan negeri sehingga Jun 2019 berjumlah RM418.5 juta.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo