NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sokong Ismail Sabri kekal PM bukan arahan parti – Mahdzir


PADANG TERAP:
Tindakan kebanyakan UMNO bahagian membuat dan meluluskan usul menyokong Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk kekal menjadi Perdana Menteri selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bukanlah disebabkan mereka menerima arahan parti.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, usul tersebut sebaliknya adalah suara akar umbi yang mahu melihat penyandang kerusi Parlimen Bera itu terus menerajui kepimpinan negara.

Katanya, usul itu juga selaras dengan keputusan dibuat Majlis Tertinggi UMNO yang sudah pun membuat kenyataan mahu melihat Ismail Sabri kekal menyandang jawatan tersebut.

“Usul itu bukan disebabkan arahan parti sebaliknya terpulang kepada bahagian masing-masing. Apabila kita buat mesyuarat bahagian semalam, kebanyakannya memang mengusulkan supaya Ismail Sabri menjadi ‘poster boy’ dan calon Perdana Menteri.

“Ini suara akar umbi dan usul itu pun semalam turut dibawa dalam Mesyuarat UMNO Bahagian Padang Terap serta disokong tanpa bahas,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Anugerah Cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang di sini, hari ini.

Selain Padang Terap, beberapa UMNO bahagian di seluruh negara antaranya Machang, Pontian, Tenggara, Parit Sulong, Tebrau, Sungai Petani, Alor Setar turut mengambil ketetapan untuk meluluskan usul sama.

Mengulas lanjut kata Mahdzir, perkara tersebut bukanlah sesuatu yang perlu dipolemikkan ketika Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi turut menyatakan persetujuan sebelum ini terhadap kedudukan Ismail Sabri itu.

“Tak timbul sebarang konflik pun kerana Presiden sendiri setuju Ismail Sabri kekal sebagai Perdana Menteri selepas PRU. Cumanya semalam bahagian-bahagian ini mengambil inisiatif sendiri membawa usul yang sealiran dengan keputusan Majlis Tertinggi,” katanya.

Dalam pada itu Mahdzir berkata, UMNO Kedah menyasarkan untuk merampas lebih daripada dua Parlimen yang dimenangi dalam PRU lepas.

Katanya, UMNO Kedah memiliki keyakinan untuk merealisasikan sasaran itu, namun setakat ini masih belum mahu mendedahkan jumlah sebenar kerusi Parlimen yang disasarkan untuk dimenangi. – UTUSAN







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo