NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

‘Saya pun baru tahu Husam tanding atas tiket PKR’ - Fahmi

AMPANG - Bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Husam Musa menjelaskan bahawa tindakan beliau menjadi calon Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tidak akan menjejaskan hubungan antara kedua parti itu.

Husam berkata, keputusan untuk mencalonkan beliau di Parlimen Pasir Mas itu juga telah pun dibincangkan kepimpinan Pakatan Harapan (PH) yang turut dibarisi pimpinan daripada daripada PKR dan Amanah.

“Amanah dan PKR adik-beradik, tidak ada masalah, satu keluarga,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pengumuman Calon PKR yang diadakan di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas di sini pada Jumaat.

Husam berkata, dengan perkembangan tersebut, beliau akan menjadi ahli PKR.

Sementara itu, beliau mengakui berhadapan dengan cabaran besar untuk bersaing di Pasir Mas yang disifatkan sebagai kubu kuat Pas.

Pada PRU14, Ketua Pemuda Pas, Ahmad Fadhli Shaari memenangi kerusi Parlimen Pasir Mas dengan majoriti 13,075 undi apabila berjaya meraih 28,080 undi dalam persaingan empat penjuru.

Husam menerusi ucapannya pada majlis tersebut turut menyatakan bahawa untuk PH memenangi PRU15, gabungan itu perlu memenangi kerusi Parlimen di negeri Kelantan dan Terengganu.

“Kalau Kelantan boleh menyumbang satu, Terengganu boleh menyumbang satu, ia akan mengukuhkan langkah kita ke Putrajaya,” ujarnya.

Pada PRU14, PH gagal untuk memenangi sebarang kerusi yang dipertandingkan di Kelantan dan Terengganu.

Pencalonan Husam di kerusi Parlimen Pasir Mas mewakili PKR mengejutkan ramai pihak, termasuk pimpinan parti itu.

Ketua Penerangannya, Fahmi Fadzil mengakui, hanya mengetahui tentang perkara itu pada malam Jumaat, iaitu semasa Majlis Pengumuman Calon PKR yang berlangsung di Padang Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ), Taman Kosas.

Bagaimanapun katanya, ia bukanlah perkara luar biasa dalam politik dan percaya, pencalonan Husam tidak akan menjejaskan hubungan parti itu dengan Amanah.

“Bagi sesetengah kerusi, mungkin ada sejarah tersendiri dan ia juga berkait dengan taktik dan strategi parti. Jadi, bagi saya tiada isu sebenarnya.

“Kita dalam Pakatan Harapan (PH) ada sejarah yang panjang dan mempunyai mekanisme untuk urus jika ada perbezaan pandangan dan seterusnya mencari kata sepakat,” katanya.

Sementara itu, Fahmi yang kembali dicalonkan parti untuk mempertahankan Parlimen Lembah Pantai berkata, akan berusaha yang terbaik untuk memastikan kerusi itu terus menjadi milik PKR.

Jelasnya, telah banyak perubahan yang berjaya dilakukan di kawasan berkenaan, walaupun berlaku pertukaran kerajaan.

“Walaupun ada perubahan kerajaan, tapi khidmat bakti kepada rakyat kita teruskan. Jadi, harapnya rakyat bersedia untuk mengharungi apa jua keadaan cuaca dan keluar mengundi pada 19 November nanti serta memilih PH untuk membina Malaysia yang lebih baik, Insya-ALLAH,” ujar beliau.

Fahmi menang kerusi Parlimen Lembah Pantai dalam PRU14 dengan majoriti 5,598 undi, menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan calon Pas, Fauzi Abu Bakar dalam persaingan tiga penjuru.

Beliau mendapat 33,313 undi berbanding Raja Nong Chik (27,715 undi) dan Fauzi (5,277 undi).

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo