NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Proses damai di Selatan Thai: Barisan Revolusi Melayu Patani mahukan jaminan keselamatan

Menurut Jurucakap Jabatan Penerangannya, Abdul Karim Khalib, insiden pembunuhan anggota BRN September lalu, dibimbangi akan menghakis keyakinan komuniti Islam dan BRN terhadap proses damai yang kini memasuki pusingan keenam. - YouTube/anak patani

KUALA LUMPUR : Barisan Revolusi Nasional Melayu Patani (BRN) menuntut kerajaan Thailand memastikan keselamatan anggotanya yang menyertai rundingan awam ke arah perdamaian kekal di selatan negara itu.
Menurut Jurucakap Jabatan Penerangannya, Abdul Karim Khalib, insiden pembunuhan anggota BRN September lalu, dibimbangi akan menghakis keyakinan komuniti Islam dan BRN terhadap proses damai yang kini memasuki pusingan keenam.
“Pada 27 September 2022, seorang anggota BRN, Zahri Abdullah berusia 42 tahun diculik sekumpulan lelaki di bandar sempadan, Rantau Panjang.
“Mangsa kemudian dibunuh kejam dengan kesan kelar di seluruh badan bertujuan menyukarkan pengecaman identiti. Mayat dibuang ke dalam Sungai Golok dan ditemukan terapung oleh orang ramai pada 29 September,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Justeru, BRN mengutuk keras pembunuhan Zahri dan mendesak semua ancaman yang dapat mengganggu proses damai ditangani dengan berkesan oleh Bangkok termasuk menjamin keselamatan perwakilan BRN ke sesi rundingan awam.
“Selain itu, pertubuhan berkenaan turut mengecam sebarang tindakan menyalahi undang-undang ke atas masyarakat Patani seperti pengumpulan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) secara paksa terhadap kanak-kanak dan remaja Patani.
“Semua bentuk penganiayaan melampau ke atas anggota BRN dan masyarakat Patani adalah satu bentuk penghinaan terhadap proses damai yang sedang berjalan sekarang," katanya.
Kata Abdul Karim lagi, BRN dan kerajaan Thailand menandatangani perjanjian ke arah perdamaian pada 28 Februari 2013 dengan BRN bersetuju menyertai rundingan awam ke arah keamanan kekal di selatan.
Ketika itu, Leftenan Jeneral Pattanathabutr Paradorn mewakili kerajaan Thailand dan Hassan Taib pula mewakili BRN telah menandatangani perjanjian di Kuala Lumpur.
“Lanjutan inisiatif Kuala Lumpur terhadap keamanan selatan Thailand telah membawa kepada Inisiatif Berlin yang menjadi rujukan kepada BRN dan Bangkok untuk menyambung rundingan keamanan secara rasmi.
“Proses damai diteruskan lagi menerusi kesepakatan terhadap Prinsip-prinsip Am Proses Dialog Damai pada 31 Mac 2020. Prinsip ini memberi pengiktirafan kepada identiti bangsa Melayu Patani dari semua segi yang dikenali sebagai Komuniti Patani,” ujarnya.
Justeru, BRN komited menjayakan pelan damai dan mematuhi ketetapan sejak 2013 lagi dalam usaha mewujudkan keamanan kekal di selatan Thailand.

Sumber I Astro Awani 


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo