NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mengapa Dap gembira undi melayu bakal berpecah

1. Baru-baru ini beberapa orang pimpinan DAP melahirkan rasa gembira apabila undi Melayu dijangka bakal berpecah kepada sekurang-kurangnya tiga kelompok dalam PRU ke-15 tidak lama lagi. Mereka mengandaikan sekiranya pengundi Cina boleh solid, peluang PH untuk kembali menerajui Kerajaan Persekutuan adalah cerah. Dalam keadaan rakyat sedang lesu dan bosan dengan politik, pemimpin DAP berharap perpecahan pengundi Melayu ini boleh diambil manfaat untuk memenangkan PH.

2. Semasa berucap di dalam Konvensyen DAP Perak baru-baru ini, seorang pemimpin tertinggi DAP menyasarkan untuk membentuk koridor PH di Pantai Barat yang merangkumi negeri-negeri Pulau Pinang, Perak, Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Negeri Sembilan. Menurut pemimpin DAP tersebut, sasaran ini dapat dicapai sekiranya PH dapat menambah lagi kerusi-kerusi parlimen di Perak, berbanding hanya memenangi 13 daripada 24 kerusi parlimen seperti dalam PRU ke-14 yang lalu.

3. Sememangnya DAP tidak memerlukan sokongan pengundi Melayu disebabkan mereka kebanyakannya bertanding di kerusi-kerusi parlimen yang mempunyai jumlah pengundi Cina yang ramai. Daripada 28 kerusi parlimen yang pengundi Cina melebihi 50 peratus, 27 daripadanya dimenangi oleh DAP dan satu dimenangi oleh PKR. Sepatutnya DAP tidak perlu memberi perhatian sama ada undi Melayu berpecah atau tidak, disebabkan kemenangan atau kekalahan mereka ditentukan oleh undi Cina.

4. Jadi mengapa DAP perlu bimbang dengan kesatuan undi Melayu? Jawapannya, sekiranya undi Melayu tidak berpecah, ada lebih kurang 31 kerusi di Semenanjung Malaysia yang sebelum ini dimenangi PH boleh terlepas kali ini. PH sukar untuk membentuk kerajaan sekiranya mereka kehilangan kerusi-kerusi tersebut. Apatah lagi, kerusi-kerusi tersebut sekarang diduduki oleh bebarapa nama besar pimpinan PH, termasuklah yang pernah menjadi menteri dan timbalan menteri semasa PH memerintah.

5. Seandainya situasi pengundi Melayu solid ini berlaku yang menyebabkan PH sukar membentuk kerajaan, sudah pasti pengundi Cina berfikir beberapa kali untuk mengundi DAP. Apa faedah mereka mengundi DAP jika sekadar untuk menjadi pembangkang di parlimen? Dengan pengertian lain, jika pengundi Cina tetap memberi undi kepada DAP, bermakna wakil kaum Cina dalam kerajaan yang bakal terbentuk selepas PRU ke-15, akan mengandungi kurang bilangan menteri dari kaum mereka. 

6. Boleh dikatakan semua maklum, bahawa corak pengundian kaum Cina tidak ditentukan oleh kekuatan parti-parti politik sama ada DAP, MCA atau Gerakan. Sebaliknya corak pengundian kaum Cina dipandu oleh NGOs dan NGIs mereka. Oleh sebab itu, pengundi-pengundi Cina pernah memberi sokongan besar kepada MCA dan Gerakan sebelum ini, sebagaimana mereka memberi sokongan besar kepada DAP sekarang. Dalam PRU ke-15 corak pengundian itu masih dipengaruhi oleh NGOs dan NGIs tersebut.

7. NGOs dan NGIs kaum Cina ini adalah terdiri dari golongan peniaga dan juga persatuan pendidikan. Mereka memerlukan ada bilangan menteri dari kaum Cina yang mencukupi sebagaimana yang pernah berlaku di zaman Perikatan dan BN memerintah. Sudah tiga kali PRU mereka memberi sokongan besar kepada DAP, tetapi hasilnya kurang bilangan menteri yang mewakili kaum Cina dalam kerajaan. Kali ini, mereka mahu memastikan adakah PH benar-benar boleh memerintah, jika mereka mengundi PH sekali lagi.

8. Petunjuknya boleh dilihat daripada sama ada undi Melayu berpecah atau tidak. Sekiranya undi Melayu berpecah, maka PH ada peluang besar menang, justeru pengundi Cina boleh memberi sokongan kepada DAP. Sebaliknya jika undi Melayu tidak berpecah, harapan untuk PH menang adalah tipis, lalu apa guna mereka memberi sokongan besar kepada DAP yang hanya akan menjadi pembangkang? Oleh sebab itu, perpecahan pengundi Melayu adalah satu berita gembira kepada DAP.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo