NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Mat Sabu dedah ada cubaan mencalon diri jadi PM10 dengan guling Ismail Sabri

Satu lagi percubaan untuk menggulingkan pentadbiran kerajaan diusahakan sebelum pembubaran Parlimen baru-baru ini, dedah Presiden Amanah Mohamad Sabu.

Tanpa menyebut nama, Mohamad atau lebih dikenali sebagai Mat Sabu berkata seorang tokoh politik telah berjumpa dengannya dan Presiden PKR Anwar Ibrahim, antara lain meminta sokongan mereka untuk membentuk kerajaan baharu.

“Kalau Ismail Sabri tak mahu bubar Parlimen, (Yang di-Pertuan) Agong tidak mahu bubar parlimen makna perdana menteri baru akan dilantik. Takkanlah kita nak ikut Britain yang mana seorang perdana menteri ditukar dalam masa 44 hari.

“Dasar Ismail Sabri belum lagi berjalan nak datang perdana menteri baru pula... (Orang) yang nak jadi perdana menteri jumpa kita berkali-kali.

“Mat tolonglah sokong kami kali ini. Saya nak jadi PM, katanya dan jumpa Anwar Ibrahim dan sebagainya,” katanya pada majlis jelajah mega PH di Alor Gajah, Melaka malam semalam.

Namun, katanya, PH menolak permintaan itu.

“Kita kata enough is enough. Tak apa la kamu bubar, kita berdepan pilihan raya.

“Banjir pun nak buat macam mana kalau banjir. Kalau banjir kita berenang ke tempat mengundi. Sebab kalau berlaku banjir itulah kehendak (Presiden Umno) Zahid Hamidi,” katanya.

Dia menambah BN akan menggunakan jentera kerajaan mengangkut penyokong-penyokong mereka ke pusat pengundian semasa banjir.

Ismail Sabri mengumumkan pembubaran Dewan Rakyat pada 10 Okt lalu, selepas mendapat perkenan daripada Yang di-Pertuan Agong.

Menurut spekulasi, naib presiden Umno itu menerima tekanan hebat daripada partinya, khususnya daripada Zahid, untuk mengadakan pilihan raya umum tahun ini.

Ini di sebalik penentangan daripada parti pembangkang yang berpendapat bahawa pilihan raya umum perlu diadakan selepas musim tengkujuh yang dijangka berlaku dalam beberapa minggu akan datang.

Bagaimanapun, Umno dan Ismail Sabri turut menyalahkan 12 menteri kabinet daripada Perikatan Nasional yang menghantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong kerana membantah pembubaran Parlimen.

Ismail Sabri berhujah bahawa kedudukannya menjadi tidak dapat dipertahankan selepas 12 menteri PAS dan Bersatu itu membelakanginya.

Dalam ucapannya, Mat Sabu mendakwa tindakan 12 menteri PN itu sebagai “biadap” kerana menarik balik sokongan kepada Ismail Sabri.

“Sekarang ketua eksekutif ialah Ismail Sabri yang hantar surat kepada Yang di-Pertuan Agong, tiba-tiba 12 menteri kabinet hantar surat, mereka biadap terhadap PM mereka.

“Pengkhianat ini dia khianat kita, dia khianat PM (Ismail Sabri). Sebab itu pengkhianat ini jangan kita percaya. Sekali dia khianat dia akan khianat terus.

“Kita dia khianat, Muhyiddin Yassin, Azmin (Ali)... dia juga khianat Ismail Sabri. Mana boleh (hantar) dua surat kabinet kepada Yang di-Pertuan Agong. Ertinya 12 menteri kabinet termasuk daripada PAS tiga menteri buat undi tidak percaya kepada Ismail Sabri,” kata Mat Sabu.

Untuk rekod, Amanah adalah parti serpihan PAS dan Mat Sabu pernah menjadi timbalan presiden parti itu.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo