NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kulat 'bersarang' dalam tubuh


Rata-rata masyarakat melihat jangkitan kulat hanya berlaku pada permukaan kulit yang menyebabkan seseorang berasa gatal, kemerah-merahan, seterusnya mengalami kurap di bahagian tertentu pada badan.

Namun, mereka yang hidup dengan spora halus kulat dan yang mempunyai sistem imun badan lemah jangkitan kulat boleh memudaratkan kesihatan sehingga ke tahap serius.

Pakar Perubatan Penyakit Berjangkit, yang kini bertugas di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Dr Low Lee Lee, berkata spora halus dibebaskan kulat boleh disedut ke paru-paru menyebabkan iritasi dan radang kepada saluran pernafasan.

Katanya, golongan mempunyai sistem imun rendah apabila terdedah kepada jangkitan kuman aspergillosis invasif, boleh membawa maut, jika tidak dirawat segera.

"Aspergillosis invansif biasanya menyerang mereka yang mempunyai sistem imun tubuh lemah. Contohnya, yang menjalani kemoterapi untuk merawat kanser.

"Aspergillosis jenis ini boleh menyerang paru-paru dan merebak ke organ lain seperti otak serta ginjal. Jika tidak dirawat boleh membawa maut," katanya.

Selain pesakit kanser (kanser darah atau leukemia), golongan mudah mendapat jangkitan kulat termasuk yang menjalani transplan sel stem untuk barah darah, melakukan transplan organ seperti buah pinggang.

Disebabkan proses transplan yang perlu dijalani, rawatan ubat diberikan menyebabkan sistem imun tubuh lemah dan senang dijangkiti kulat aspergillosis.

"Pesakit kencing manis tidak terkawal mudah juga terdedah dengan jangkitan kulat secara oportunistik, contohnya mukormikosis, nama saintifiknya," katanya.

Jangkitan kuman kulat boleh menyebabkan kematian

Dr Low Lee berkata, mukormikosis berlaku melalui pendedahan kepada spora atau unsur kulat daripada persekitaran seperti tanah, bahan organik mereput seperti daun, longgokan kompos dan sisa haiwan.

Unsur kulat sangat kecil boleh masuk ke dalam badan menerusi saluran pernafasan (rongga hidung), melalui kecederaan sama ada luka atau calar di kulit, mahupun tertelan tanpa disedari dalam kalangan pesakit tenat atau dengan sistem imun lemah.

Dr Low Lee Lee
Dr Low Lee Lee

"Ini menyebabkan kulat boleh dijangkiti daripada tanah dan boleh dihidu di udara bersama habuk seterusnya merebak ke organ lain, seperti otak, organ limpa, hati, buah pinggang dan mata, melalui saluran pernafasan.

"Oleh itu, individu perlu cuba elakkan kawasan ada banyak habuk seperti tapak pembinaan, penggalian atau jika terpaksa pakai topeng khas.

"Penghidap penyakit kanser darah sedang menerima rawatan, seboleh-bolehnya mengelakkan aktiviti berkebun atau bersentuhan dengan tanah, jika terpaksa pakai perlindungan untuk mengelak kulat merebak melalui luka tanpa sedar," katanya.

Simptom dijangkiti mukormikosis dan aspergillosis sukar dibezakan dengan jangkitan lain.

Jika individu dijangkiti kulat di paru-paru, simptomnya adalah batuk, batuk berdarah dan penat.

Bagi jangkitan kulat di bahagian hidung yang menyerang rongga hidung, simptom seakan-akan masalah resdung seperti hidung tersumbat. Ini menyebabkan mereka mendapatkan rawatan resdung sahaja.

Jika tidak mendapatkan rawatan segera jangkitan kuman mukormikosis dan aspergillosis boleh menyebabkan kematian.

Beliau menjelaskan apabila paru-paru diserang jangkitan kulat ini, ia agak sukar untuk dirawat, manakala jangkitan pada mata boleh menyebabkan buta.

Justeru, kesedaran mengenai kewujudan kulat yang boleh memudaratkan atau lebih teruk perlu diberi perhatian.

"Disebabkan simptom jangkitan kulat ini sukar dibezakan dengan penyakit lain , seseorang yang berisiko tinggi dan ada simptom berlarutan atau simptom tidak hilang selepas mendapat rawatan biasa, sebaiknya pesakit terus mendapatkan rawatan atau nasihat pakar.

"Kesedaran dan pengetahuan membabitkan pelbagai pihak termasuk pengamal perubatan dan orang awam terutama golongan berisiko tinggi supaya pencegahan awal dapat ditangani.

Rawatan penyakit

Beliau berkata, pelbagai kaedah rawatan dijalankan mengikut situasi dialami pesakit.

Jika pesakit menghidapi masalah pada hidung, pakar telinga, hidung dan kerongkong (ENT) akan menjalankan beberapa pemeriksaan seperti memasukkan endoskop dalam rongga hidung untuk mengenal pasti punca penyakit, memastikan tiada ketumbuhan atau kemungkinan diserangi jangkitan kulat.

Kemudian prosedur pengimejan seperti menggunakan mesin pengimejan computerized tomography (CT), resonans magnetik (MRI) atau pancaran radiasi x-ray bagi membantu mengenal pasti jangkitan selain ujian darah selalunya akan dijalankan.

"Seboleh-bolehnya, pakar ENT atau pembedahan akan meneruskan pemeriksaan diagnostik seperti biopsi, bermaksud pengambilan sedikit tisu untuk diperiksa di makmal. Ini prosedur penting untuk mengesan jangkitan," katanya.

Bagaimanapun, individu tidak mempunyai penyakit berisiko tinggi juga boleh terdedah dengan jangkitan kulat, keberangkaliannya lebih jarang berbanding pesakit mempunyai imuniti rendah.

Kaedah rawatan bergantung kepada pesakit. Jika pesakit leukemia dan barah misalnya, pakar perubatan hematologi atau onkologi sebolehnya akan membetulkan sistem imun kembali kepada sekuat yang mungkin.

Penghidap kencing manis pula, perlu mengawal paras gula dalam badan secara optimum.

"Penggunaan ubat antikulat untuk tujuan pembasmian jangkitan kulat adalah cara rawatan yang penting .

"Kaedah rawatan lain termasuk pembedahan bagi mengelakkan kulat terus 'bersarang' di kawasan jangkitan seterusnya mengurangkan risiko yang lebih teruk kepada pesakit," katanya.

Beliau yang juga Jawatankuasa The Malaysian Mycology Interest Group (MMIG), di bawah naungan Malaysian Society of Infectious Diseases dan Chemotherapy (MSIDC), berkata agak mustahil manusia hidup tanpa spora atau kulat tetapi sekurang-kurangnya masyarakat perlu sedar dan peka persekitarannya.

"Jika anda dikelilingi mereka daripada kumpulan berisiko tinggi atau diri sendiri pesakit diabetes, elakkan lakukan aktiviti bercucuk tanam.

"Ini kerana, kebanyakan spora terdapat di kawasan bertanah sehingga benar-benar sihat, memakai perlindungan seperti topeng muka, selain seluar dan baju berlengan panjang bagi mengelakkan jangkitan kulat pada luka tanpa sedar.

"Amalkan kebersihan diri, kerap membasuh tangan dan membersihkan diri bagi mengelak sebarang penyakit kulat dan penyakit berjangkit lain.



............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo