NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kuasa Politik Melayu Seperti Telur Di Hujung Tanduk



  1. Harapan untuk melihat hubungan PAS dan UMNO kembali bertaut seperti semasa menandatangani Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019 dilihat semakin pudar. Setelah pertemuan empat mata dua orang pemimpin utama PAS dan UMNO pada bulan September yang lalu hampir membuahkan hasil, kini halatuju hubungan kedua-dua parti terbesar umat Melayu tersebut sekali lagi kembali suram.
  2. Dengan pembubaran Parlimen semalam, kerjasama kedua-dua parti sangat penting demi memastikan sekurang-kurangnya 89 kerusi parlimen di Semenanjung Malaysia dapat ditawan oleh sama ada PAS atau UMNO. Kemenangan di 89 kerusi Semenanjung Malaysia akan menarik sokongan parti-parti rakan dari Sabah dan Sarawak untuk menubuhkan kerajaan, sekaligus akan menghalang PH untuk kembali berkuasa.
  3. Kerjasama PAS dan UMNO adalah faktor terpenting untuk menghalang PH kembali berkuasa disebabkan sokongan akar umbi kedua-dua parti yang meluas di samping kekuatan jentera pilihanraya yang mantap. Dengan sinergi kekuatan PAS dan UMNO ini, akan turut menarik pengundi-pengundi termasuklah pengundi muda untuk menyokong calon-calon mereka. Kerjasama PAS dan UMNO bakal mewujudkan kestabilan politik yang menjadi sebab terpenting seseorang pengundi memilih pada PRU kali ini.
  4. Rakyat Malaysia telah menyaksikan selepas PRU ke-14 pada tahun 2018, politik Malaysia sentiasa bergoncang. Dalam tempoh empat tahun yang lalu tiga Perdana Menteri telah dilantik dan beberapa Menteri Besar telah bertukar. Ketidakstabilan ini berpunca daripada usaha pecah dan perintah yang dilakukan terhadap parti-parti Melayu dan Bumiputera terutama terhadap PAS dan UMNO. Oleh yang demikian, kerjasama PAS dan UMNO adalah kunci kestabilan politik Malaysia hari ini.
  5. Bagaimanapun, berdasarkan situasi hari ini, kerjasama PAS dan UMNO sukar untuk dicapai disebabkan PAS terikat dengan Bersatu di dalam PN, malah Bersatu telah mengisytiharkan UMNO sebagai musuh utama mengatasi PH. UMNO pula telah memberikan syarat kepada PAS untuk meninggalkan PN dan memutuskan hubungan dengan Bersatu. Situasi seperti ini menyebabkan kerjasama PAS dan UMNO sukar tercapai, melainkan ada kehendak politik yang kuat ke arah kerjasama tersebut oleh kedua-dua parti.
  6. Disebabkan hubungan yang tidak kondusif, kerjasama terhad antara PAS dan UMNO, iaitu sekurang-kurangnya tidak bertembung di 27 kerusi juga bakal menemui kegagalan. Sebenarnya jumlah kerusi yang berisiko untuk dimenangi oleh PH semakin bertambah dengan pertambahan pengundi baru yang mendadak selepas kemasukan pengundi 18 tahun dan pengundi terdaftar secara automatik baru-baru ini. Oleh sebab itu, tanpa kerjasama PAS dan UMNO, kerusi-kerusi yang berisiko ini boleh terlepas kepada PH.
  7. Seperrti yang pernah disebutkan oleh seorang pemimpin DAP baru-baru ini, dengan terpecahnya pengundi-pengundi Melayu kepada tiga iaitu BN, PN dan GTA, sekiranya pengundi Cina solid menyokong PH, maka PH akan kembali sekali lagi menerajui Putrajaya. Sekiranya ini berlaku, PH dijangka boleh menawan kerusi-kerusi berisiko ini, seterusnya memerintah Malaysia seperti PRU ke-14 yang lalu. Jelas sekali, kuasa politik Melayu bukan lagi penentu parti mana yang bakal memerintah Malaysia, sebalik kuasa penentu terletak kepada kuasa pengundi Cina.

Dr Zuhdi Marsuki







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo