NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Ku Li beri bayangan terus pertahan Parlimen Gua Musang


TENGKU Razaleigh Hamzah tidak menolak jika dicalonkan untuk mempertahankan kerusi Parlimen Gua Musang pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Katanya, beliau menyerahkan urusan agihan kerusi kepada parti, namun ramai pengundi tidak mahu beliau bersara selain terus mendapat sokongan daripada masyarakat Orang Asli.

“Saya sendiri, saya serah kepada parti. Di Gua Musang ni setiap tahun tak nak bagi saya bersara terutama sekali Orang Asli, mereka buat keputusan ramai-ramai tak mahu calon lain.

“Setiausaha UMNO Bahagian Gua Musang (Ab Aziz Yusoff) kata selagi saya tak ‘gogek’ (selagi boleh bergerak) saya kena tawar diri saya untuk bekerja lagi,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Gua Musang, di Gua Musang, lapor Berita Harian.

Untuk rekod, Tengku Razaleigh adalah wakil rakyat paling lama berkhidmat di negara ini, iaitu selama 12 penggal di peringkat Parlimen dan negeri.

Tengku Razaleigh atau lebih dikenali sebagai Ku Li, 85, mempertahankan kerusi itu yang kali pertama dimenanginya tanpa bertanding pada 1974. Kerusi itu sebelum ini dikenali sebagai Ulu Kelantan.

Dalam PRU lalu, beliau mengekalkan penguasaan di kerusi Parlimen terbabit selepas menang dengan majoriti 3,913 undi dalam saingan tiga penjuru bersama calon PAS dan PKR.

Sementara itu mengulas tindakan PAS menangguhkan kerjasama dengan UMNO pada PRU15, Tengku Razaleigh berkata ia akan menjadi kayu ukur penerimaan rakyat terhadap PAS di Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beliau berkata tindakan itu tidak salah jika PAS mendapat kerjasama daripada Perikatan Nasional (PN) dan bergantung dengan BERSATU.

“Jadi kita test (uji) lah, rakyat di negeri-negeri ini puas hati (atau) tidak dengan pemerintahan dia (PAS).

“Tetapi kalaulah dia mendapat kekuatan daripada PN kerana bergabung dengan BERSATU, apa salahnya,” katanya ketika ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Gua Musang, di sini, hari ini.

Pada mesyuarat itu ahli sebulat suara menyokong penuh Tengku Razaleigh untuk terus meneraju kerusi Parlimen Gua Musang.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo