NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BN tolak kerjasama PAS selepas PRU15, Zahid menyalahkan PAS tak setia


PETALING JAYA:
Tidak akan ada sebarang bentuk rundingan membabitkan Barisan Nasional (BN) bersama PAS selepas pilihan raya umum ke-15 (PRU15), kata Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi.

Tindakan itu susulan BN menganggap PAS sebagai kawan yang tidak setia susulan tindakan parti itu terhadap Umno dan BN sebelum ini.

Zahid berkata, pemimpin PAS dilihat sering berubah-ubah dalam menentukan pendirian, selain turut menggunakan ayat al-Quran dan hadis yang ditafsir oleh mereka sendiri.

Katanya, disebabkan itu BN memilih untuk bergerak solo pada PRU15 dan yakin komponen BN juga dapat membantu parti itu kembali memerintah negara.

“Kita jangan pedulikan pak lebai bersama kita (BN) atau tidak, pak lebai petang cakap lain, malam cakap lain. Dia kata kita durian mentah belum masak, ingat pak lebai ada durian tak cukup masak gugur, takut kena kepala pecah.

“Apabila ada situasi politik baharu mereka keluar fatwa baharu, bila untuk dirinya keluar fatwa baharu, bila nak salahkan orang keluar. Guna ayat al-Quran dan hadis yang maknanya tetap sama, tetapi ditafsir berlainan. Cukuplah pak lebai, bertaubatlah cepat,” katanya menurut Berita Harian.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Solidariti Kestabilan dan Kemakmuran di Dataran Serdang dekat Bandar Baharu Kedah hari ini yang turut dihadiri Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob, Setiausaha Agung BN Zambry Abdul Kadir dan Pengerusi BN Kedah Jamil Khir Baharom.

Zahid berkata, seharusnya PAS mempunyai pendirian teguh dalam membuat keputusan bagi menentukan kerjasama sebelum PRU15 kali ini.

Katanya, BN mahu kawan yang setia dan istiqamah selain sedia untuk susah dan senang bersama parti itu.

“Mereka beritahu tunggu lepas pilihan raya kita runding, BN jawab dengan cepat pilihan raya belum lagi kita sedang menghadapi realiti ketika ini.

“Jangan runding lepas pilihan raya, kita bukan riak, sombong, takut atau pengecut. Rakyat sudah sedar dan akan beri kepercayaan semula kepada BN.

“Ketika itu apabila kita berjaya bentuk kerajaan, baru ada orang terhegeh-hegeh hendak jumpa kita, kita akan cakap cukup sampai di sini dan semua sudah terlambat,” katanya.







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo