NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

14 kawasan di Langkawi dinaiki air

ALOR SETAR - Sebanyak 14 kawasan di empat mukim di Pulau Langkawi dinaiki air susulan hujan lebat dan angin kencang sejak jam 6 pagi Ahad.

Pegawai Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Langkawi, Kapten (PA) Ahmad Shahfikri Darus berkata, setakat jam 4 petang, antara kawasan dinaiki air di mukim Kuah ialah Kampung Belanga Pecah dan Jalan Penarak.

Beliau yang juga Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Langkawi berkata, lima kawasan termasuklah Telaga Habour Pantai Kok, Kampung Atas, Kampung Sungai Melaka, Fresh Mart Padang Putih dan Market Padang Padang Matsirat di mukim Padang Matsirat turut dinaiki air.

"Bagi mukim Ayer Hangat, kawasan terlibat termasuklah Kampung Kilim, Teluk Yu, Jalan Kelubi dan Bukit Tampoi, manakala bagi mukim Ulu Melaka membabitkan Empangan Padang Gaong, Empangan Padang Saga dan sebuah kedai makan.

"Selain dinaiki air, turut berlaku kejadian tanah runtuh di mukim Ulu Melaka dan Jalan Gunung Raya," katanya dalam kenyataan pada Ahad

Ahmad Shahfikri memberitahu, pihaknya turut mengesan kejadian pokok tumbang di beberapa kawasan seperti Jalan Perana mukim Ulu Melaka dan Kampung Padang Ranggut dan hadapan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ayer Hangat di mukim Ayer Hangat.

"Pokok tumbang turut berlaku di Kampung Belanga Pecah dan Kampung Keda Tok Wang Rendong di mukim Kuah serta Kampung Lubuk Semilang dan Kampung Yooi di mukim Bohor," katanya.

Bagaimanapun katanya, tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka setakat jam 4 petang Ahad.

"Keadaan cuaca di Langkawi masih hujan lebat dan angin kencang dan pemantauan dilakukan di kawasan berpotensi banjir," katanya.

Sementara itu Di Perlis, beberapa kawasan kediaman serta kampung di Kangar telah dinaiki air berikutan hujan berterusan semenjak Sabtu.

Pengarah APM Perlis, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Izaimi Md Daud berkata, antara kawasan terjejas telah dipantau ialah Kampung Sentua, Kampung Seriab dan Kampung Bakau.

"APM Perlis juga turut memantau kawasan-kawasan 'hotspot' banjir serta sungai-sungai yang berada pada tahap kuning di sekitar Perlis," katanya.

Menurut beliau, tinjauan dan bantuan telah pun dikerahkan di Taman Kuala Perlis dan Kampung Sentua.

"Bagaimanapun, sehingga kini tiada pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka berikutan pihak APM sedang giat membantu penduduk memindahkan barang-barang di kawasan terjejas," katanya.

Dalam perkembangan sama, Pusat Kawalan Operasi Padang Besar giat melakukan tinjauan paras sungai di Sungai Panggas, Sungai Buluh Batu Bertangkup, Sungai Kubang Tiga dan Bukit Ayer.

APM Perlis berkata, paras sungai berada pada tahap berwaspada (kuning) dan arus deras.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo