NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wanita berpakaian mencolok mata bukan model KFW22


ALOR SETAR: Wanita berpakaian mencolok mata yang ditular di media sosial bukanlah model Kedah Fashion Week 2022 (KFW22) sebaliknya tetamu yang hadir pada program berkenaan.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Kerajaan Tempatan negeri, Dato’ Dr Mohd Hayati berkata, individu berkenaan difahamkan adalah seorang ‘maknyah’ yang berlakon seperti seorang model, menggayakan pakaian yang tidak sesuai.

“Saya telah memanggil pihak Aman Central, Majlis Bandaraya Alor Setar dan Pejabat Daerah Kota Setar untuk mendapatkan maklumat lanjut.

“Tindakan individu berkenaan dipercayai adalah tindakan peribadi yang dilakukan setelah acara pertunjukan fesyen berkenaan tamat,” jelas beliau dalam kenyataan hari ini.

Katanya lagi, kerajaan negeri akan mengambil tindakan sewajarnya berdasarkan peruntukan peraturan dan undang-undang yang sedia ada.

Jelasnya, dalam masa yang sama kerajaan negeri juga berhasrat untuk mengkaji bagi memperkemaskan peraturan-peraturan kecil yang berkaitan hiburan dan pertunjukan supaya lebih menepati adat budaya dan tatasusila Negeri Kedah. 

Sementara itu, penganjur KFW22 Aman Central Alor Setar melalui kenyataannya mengesahkan individu yang berpakaian mencolok mata yang tular di media sosial bukanlah peserta.

Individu tersebut hanyalah tetamu yang hadir pada program berkenaan dan mengambil kesempatan merakamkan gambar di bahagian pentas selepas tamat program terbabit.

Dalam masa yang sama pihaknya juga merasa kesal tindakan berkongsi gambar berkenaan daripada salah seorang tetamu yang hadir yang jelas tidak mencerminkan kod etika pemakaian yang ditetapkan.

“Pihak kami kesal atas segala kesulitan yang berlaku dan akan memastikan etika pemakaian yang ditetapkan di mana-mana majlis di Aman Central akan dipantau dengan lebih ketat selepas ini,” jelasnya.

Kedah Fashion Week, menurutnya adalah acara tahunan anjuran pusat membelah terbabit yang diadakan untuk mempamer serta mempromosikan pakaian berjenama tempatan di premis berkenaan.

“Pertunjukan fesyen ini setiap tahun dianjurkan oleh pihak Aman Central sendiri dan bukan dari pihak luar.

“Malah pihak kami telahpun mendapat kelulusan dari pihak berwajib sebelum ia diadakan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo