NOTIS:

Belum ada lagi....

Lima syarikat pengisar makanan ayam dikesan terbabit perjanjian antipersaingan, langgar Akta 712 - MyCC

0

Apabila persaingan dimanipulasikan dalam pasaran makanan ayam, keseluruhan bekalan rantaian dalam industri akan terjejas. Pengguna yang berada di hujung rantaian ini adalah yang paling terjejas. - Gambar fail/Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Lima syarikat pengisar makanan ayam dikesan melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 kerana disyaki terbabit dalam perjanjian antipersaingan.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Iskandar Ismail, siasatan pasukan khas MyCC mendapati kelima-lima syarikat terbabit dikesan menaikkan kuantum harga makanan ternakan ayam pada awal tahun 2020 sehingga pertengahan tahun 2022.
"MyCC telah mengeluarkan keputusan cadangan terhadap lima perusahaan kerana telah melanggar Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 (Akta 712) seperti berikut:
"Syarikat pertama Dindings Poultry Development Centre Sedn Bhd, FFM Berhad, Gold Coin Feedmills (Malaysia) Sdn Bhd, Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd dan Pk Agro-Industrial Products (Malaysia) Sdn Bhd," jelasnya.
Tambah Iskandar, siasatan mendapati maklumat perdagangan sensitif telah dikongsi antara syarikat terbabit yang dilihat berpotensi mengganggu persaingan dalam pasaran.
"MyCC sebagai badan separa kehakiman secara awalnya melalui keputusan cadangan mendapati perusahaan tersebut telah melanggar Seksyen 4 akta Persaingan 2010, dengan memasuki perjanjian antipersaingan atau amalan bersepadu, dalam menaikkan kuantum harga makanan ayam yang mengandungi kacang soya dan jagung sebagai bahan utamanya di antara awal tahun 2020 sehingga pertengahan tahun 2022.
"Melalui penetapan harga pada harga kuantum yang sama, yang menyebabkan kenaikan yang sama dalam kalangan perusahaan, pilihan pembeli dalam memilih pembekal makanan ayam pilihan mereka yang menawarkan harga terbaik menjadi terhad," katanya lagi.
Mengulas lanjut, jelas Iskandar, tindakan berkenaan berpotensi menghasilkan sebuah landskap antipersaingan dalam rantaian bekalan industri ayam.
Malah makanan ayam, ujarnya, merupakan penyumbang utama dalam kos penternakan ayam iaitu kira-kira 72.8 peratus daripada jumlah kos keseluruhan.
"Oleh itu, apabila persaingan dimanipulasikan dalam pasaran makanan ayam, keseluruhan bekalan rantaian dalam industri akan terjejas. Pengguna yang berada di hujung rantaian ini adalah yang paling terjejas.
"Memandangkan penemuan MyCC melalui keputusan cadangan adalah dapatan awal hasil penyiasatan, maka tidak boleh diandaikan bahawa mana-mana perusahaan yang telah disebutkan tadi telah melanggar undang-undang pada peringkat ini.
"Lima perusahaan itu kini mempunyai peluang untuk mengemukakan reprentasi mereka dalam tempoh 30 hari dari tarikh keputusan cadangan itu disampaikan kepada mereka, dan dalam hal ini, ia disampaikan pada hari ini," katanya lagi.
Kelima syarikat pengisar makanan itu tambahnya, boleh memilih membentangkan representasi mereka secara lisan pada tarikh yang akan ditentukan kelak.
Jika didapati bersalah jelasnya, tindakan seperti penalti kewangan boleh dikenakan terhadap syarikat berkenaan.
"Setelah mendengar dan mempertimbangkan representasi bersama bukti yang dikumpulkan dalam proses penyiasatan, MyCC akan mengeluarkan keputusan akhir sama ada terdapat pelanggaran atau tiada pelanggaran dibawah Akta 712.
"Sekiranya terdapat pelanggaran, MyCC akan mengenakan penalti kewangan sehingga 10 peratus daripada pusing ganti seluruh dunia oleh perusahaan perusahaan tersebut sepanjang tempoh pelanggaran itu.
"Selain daripada penalti, MyCC juga boleh mengenakan arahan tertentu yang dianggap wajar," katanya lagi.
Beliau berkata demikian dalam sidang media di pejabat MyCC di ibu negara pada Jumaat.

Sumber | Astro Awani 





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo