NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Jenazah isteri bekas TYT Melaka, Mohd Khalil Yaakob selamat dikebumi

Allahyarhamah Toh Puan Zurina Kassim selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Al-Azim, Bukit Palah di Melaka malam ini. - Gambar/ Astro AWANI

MELAKA: Jenazah isteri kepada bekas Yang di-Pertua Negeri Melaka keenam Tun Mohd Khalil Yaakob, Allahyarhamah Toh Puan Zurina Kassim selamat dikebumikan di Makam Pahlawan, Masjid Al-Azim, Bukit Palah di sini sebentar tadi.

Allahyarhamah dikebumikan berhampiran pusara Yang di-Pertua Negeri Melaka kelima, Allahyarham Tun Syed Ahmad Syed Shahabudin dan Ketua Menteri Melaka kelapan, Allahyarham Datuk Seri Abu Zahar Ithnin.

Terdahulu, jenazah Allahyarhamah yang meninggal dunia pada usia 78 tahun, dibawa dari kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur ke Masjid Saidina Ali, Bukit Katil di sini kira-kira pukul 6.15 petang untuk dimandi, dikafan dan disembahyangkan.

Jenazah kemudian dibawa ke Kompleks Seri Negeri, Ayer Keroh bagi penghormatan terakhir yang turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam dan isteri Toh Puan Asmah Abd Rahman, serta Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali.

Turut hadir ialah Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Makanan 1 (MAFI) Datuk Seri Ahmad Hamzah, barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) dan kakitangan kerajaan negeri.
Jenazah seterusnya dibawa ke Masjid Al-Azim Bukit Palah, di sini dan disembahyang sekali lagi oleh kira-kira 1,000 jemaah yang diimamkan Mufti Kerajaan Negeri, Datuk Abd Halim Tawil.
Abd Halim turut mengetuai bacaan talkin yang mengundang sebak anggota keluarga, rakan taulan dan rakyat negeri Melaka yang hadir.
Zurina menghembuskan nafas terakhir kira-kira pukul 10.10 pagi tadi di kediamannya di Bukit Damansara, Kuala Lumpur.
Allahyarhamah dilahirkan pada 13 Julai 1944 di Duyong, Melaka dan mendirikan rumah tangga dengan Mohd Khalil ketika berusia 21 tahun pada 28 Februari 1965.
Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan tiga cahaya mata.
Yayasan Toh Puan Zurina di Pantai Peringgit yang mula beroperasi sepenuhnya kira-kira lapan tahun lalu menjadi saksi keprihatinnya terhadap rakyat Melaka termasuk penyediaan rawatan hemodialisis percuma.

Sumber | Astro Awani







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo