NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu LCS: Rafizi kongsi bukti Abd Latiff, Zainab terlibat

Rafizi tampil berkongsikan bukti menunjukkan Abd Latiff dan Zainab Mohd Salleh terhadap syarikat subkontraktor dalam projek LCS.

SHAH ALAM: Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Rafizi Ramli tampil berkongsikan bukti menunjukkan pemilikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Datuk Abd Latiff Ahmad dan individu bernama Zainab Mohd Salleh terhadap syarikat subkontraktor dalam projek kapal tempur pesisir (LCS).
Beliau berkata, beberapa bukti penglibatan Abd Latiff melalui Zainab, iaitu individu dipercayai isteri kepada bekas Timbalan Menteri Pertahanan itu dan syarikat, Alizes Marine Limited boleh dilihat melalui Laporan Forensik Projek LCS yang dinyahwarta pada Isnin.
Katanya, menerusi laporan audit tersebut, ia secara jelas menyatakan bahawa Zainab merupakan isteri kepada Abd Latiff yang juga bekas Timbalan Menteri Pertahanan.
Menjelaskan mengenai perkara tersebut, Rafizi berkata, penipuan oleh Alizes Marine Limited melibatkan penggunaan nama syarikat lain di Perancis walaupun invois dihantar dengan alamat yang berlainan.
“Laporan Forensik Projek LCS menyenaraikan alamat-alamat palsu digunakan di dalam invois Alizes dan menamakan seorang rakyat Perancis bernama Thierry Georges Andre Barrier sebagai individu yang terlibat di dalam skim penipuan ini.
“Abd Latiff menubuhkan sebuah syarikat bernama Mega P Asia Sdn Bhd (pendaftaran 1163389-W) pada 23 Oktober 2015 (rujuk '5A' dan '5B'),” katanya menerusi satu hantaran di Facebook beliau pada Selasa.
Menurut Rafizi, Mega P Asia Sdn Bhd (Mega P Asia) turut dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai salah sebuah syarikat berkait dengan Abd Latiff yang mendapat laba daripada projek pertahanan laut negara.
Ia antaranya membabitkan pembekalan tenaga kerja dari Chile untuk projek kapal selam, Scorpene yang melibatkan jutaan ringgit, dan syarikat itu telah menerima bayaran.
“Mega P Asia ditubuhkan oleh Abd Latiff bersama-sama Thierry Barrier yang masing-masing memegang satu saham semasa penubuhan.
“Ini mengukuhkan dakwaan bahawa Abd Latiff terlibat dalam skim penipuan menggunakan invois palsu melibatkan Alizes Marine Limited, memandangkan invois itu berkait dengan Thierry Barrier (seperti yang dilaporkan di dalam Laporan Forensik Projek LCS).
“Hubung kait di antara Abd Latiff dengan Zainab diperkuatkan lagi apabila semakan pemilikan saham Mega P Asia menunjukkan Abd Latiff dan Zainab merupakan pemegang majoriti saham syarikat itu,” jelas beliau.
Rafizi berkata, Maklumat Borang 68 yang menyatakan perincian pemegang saham sesebuah syarikat bagi tahun 2017, difailkan dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia menunjukkan Abd Latiff memegang 105,002 saham dan Zainab memegang 245,000 saham di dalam Mega P Asia.
Katanya, laporan kewangan Mega P Asia yang diaudit bagi tahun kewangan 2016 juga menunjukkan bahawa syarikat itu yang ditubuhkan Abd Latiff dikawal oleh Zainab.
“Bukti-bukti ini sudah cukup untuk mengesahkan bahawa Zainab adalah isteri (kedua) Abd Latiff dan kedua-dua mereka terlibat di dalam Marine Alizes Limited yang dinamakan di dalam Laporan Forensik Projek LCS sebagai syarikat yang menyelewengkan sehingga RM210 juta dana daripada projek LCS.
“Jika benar Zainab bukan isteri Abd Latiff seperti disebut di dalam Laporan Forensik Projek LCS, kenapa Abd Latiff memberikan saham majoriti dan membenarkan Zainab mengawal Mega P Asia, syarikat yang ditubuhkannya dan mendapat kontrak bernilai jutaan ringgit dari projek Kementerian Pertahanan?” soal beliau.
Mengulas mengenai kenyataan Abd Latiff pada Isnin yang menafikan Zainab sebagai isterinya, Rafizi yang juga bekas Ahli Parlimen Pandan itu berkata, ia dilihat sebagai usaha untuk mengelirukan orang ramai.
“Rujukan kepada ‘berita yang tular’ sudah tentu merujuk kepada kesilapan satu portal berita yang melaporkan kononnya Zainab yang terlibat di dalam projek LCS ini adalah Ketua Pegawai Kewangan Dialog Berhad yang juga bernama Zainab Mohd Salleh.
“Saya tergelak kerana besar kemungkinan Abd Latiff benar-benar ingat saya pun tersilap begitu juga. “Zainab Mohd Salleh yang memiliki Alizes Marine Limited adalah seorang individu lain,” ujarnya. — Sinar Harian





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo