NOTIS:

Belum ada lagi....

KPLB akan bina semula rumah 17 keluarga mangsa banjir Baling di tanah KEDA

0

Datuk Seri Mahdzir Khalid ketika mengadakan lawatan tapak untuk membina rumah baharu bagi 17 buah keluarga yang hilang tempat tinggal dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air di Desa KEDA Sadek di Kupang hari ini. - Foto BERNAMA

BALING: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) akan membina rumah baharu bagi 17 keluarga yang hilang tempat tinggal dalam kejadian banjir dan fenomena kepala air di Kupang di sini, 4 Julai lepas.
Menterinya Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata rumah berkenaan akan dibina di atas tanah berkeluasan 0.81 hektar milik Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) di Desa KEDA Sadek, Kupang di sini.
"Kita dapati bahawa di Desa KEDA Sadek ini ada dua lokasi untuk pembinaan rumah, satu adalah padang yang anak-anak muda main bola dan satu lagi adalah di tanah kosong tepi jalan.
Saya telah bincang dengan Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) KPLB (Mas Rizal Mohd Hilmi), Pengurus Besar KEDA (Datuk Kamarudin Abd Akib) dan kita bersetuju menjadikan tapak tanah di tepi jalan sebagai perumahan untuk mangsa banjir," katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan ke tapak berkenaan di Desa KEDA Sadek hari ini.
Beliau berkata pembinaan rumah jenis teres sebanyak 21 unit yang dijangka menelan belanja RM1.5 juta itu akan diberikan kepada keluarga yang hilang tempat tinggal atau rumah mengalami kerosakan sehingga 80 peratus dan tidak boleh didiami ekoran bencana itu.
Bagaimanapun beliau berkata pembinaan rumah berkenaan mungkin mengambil sedikit masa kerana akan melibatkan kelulusan kebenaran merancang yang dikeluarkan pihak berkuasa tempatan.
Dalam pada itu, Mahdzir berkata KPLB juga telah mengadakan perbincangan dengan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk menyegerakan baik pulih kerosakan rumah mangsa banjir yang kini dianggarkan sebanyak 400 unit.
"Tahap kerosakan tu ada pelbagai kategori, jadi saya sudah bincang dengan TKSU (Mas Rizal), kita tengok mungkin boleh disegerakan untuk KEDA dan GiatMARA untuk datang membuat apa yang patut (untuk baik pulih rumah), bincang dengan pejabat daerah dan kemudian kita boleh laksanakan.
Tapi dalam proses itu ada juga yang dikendalikan oleh ICU, sebab kita punya bajet banjir, kita pun ada kekangan, jadi maknanya KPLB dan ICU bersama membantu membaik pulih rumah mangsa banjir," katanya.
-- BERNAMA






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo