NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemansuhan PT3 selari dengan trend pendidikan - Anuar Ahmad

Pemansuhan PT3 dilihat wajar dan selari trend pendidikan masa kini yang mementingkan pentaksiran di bilik darjah dan sekolah. - Gambar fail

KUALA LUMPUR : Pemansuhan Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3) dilihat wajar dan selari trend pendidikan masa kini yang mementingkan pentaksiran di bilik darjah dan sekolah.
Pensyarah Kanan Pusat Kajian Pendidikan dan Kesejahteraan Komuniti Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Anuar Ahmad menjelaskan, ia berikutan amalan pentaksiran yang mengumpulkan silibus itu tidak lagi diamalkan di kebanyakan negara maju.
"Amalan pentaksiran yang mengumpulkan silibus dalam tempoh tiga hingga lima tahun itu tidak lagi diamalkan di banyak negara seluruh dunia.
"Kita mengamalkan sistem pendidikan di mana setiap tahap pembelajaran pelajar, mereka akan ditaksirkan dan apabila mereka berjaya melepasi tahap pencapaian yang telah ditentukan, mereka akan teruskan dengan topik atau pembelajaran yang baharu.
"Jadi pada saya ini keputusan tepat dan baik, saya menyokong penuh usaha KPM memansuhkan PT3 ini," katanya kepada Astro AWANI pada Jumaat.
Beliau berpendapat keputusan dibuat Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) itu akan kekal untuk masa-masa akan datang walaupun berlaku perubahan tampuk pemerintahan negara.
"Saya fikir ia sesuatu yang kekal kerana kita telah mula mengamalkan PT3 ini sejak 2011, maksudnya, guru, sekolah, ibu bapa dan pelajar sudah memahami tentang pentaksiran berdasarkan sekolah dan bilik darjah.
"Ramai ibu bapa yang tidak begitu cenderung dengan peperiksaan berpusat ini kerana membebankan pelajaran anak mereka dan kualiti pembelajaran itu dalam bentuk hafalan," katanya lagi.
Proses pembelajaran seperti pembelajaran berasaskan projek, meningkatkan komunikasi dalam bilik darjah dan kolaborasi dengan rakan tidak boleh diamalkan dalam peperiksaan berpusat.
"Namun pentaksiran di sekolah dan bilik darjah akan melakukan lebih banyak aktiviti pembelajaran. Saya sangat yakin mereka bersedia kerana mereka telah mengamalkannya dalam pelbagai kaedah dan bentuk," ujarnya.
Semalam Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin dalam satu sidang media mengumumkan Kementerian Pendidikan (KPM) memutuskan untuk memansuhkan PT3 bermula tahun ini.

Sumber | Astro Awani






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo