NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Parlimen perlu wujud hukuman alternatif setimpal dengan kesalahan pesalah - Peguam

Pemansuhan hukuman mati mandatori memerlukan Parlimen untuk mengubal undang-undang sedia ada bagi mewujudkan hukuman alternatif kepada pesalah. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Pemansuhan hukuman mati mandatori memerlukan Parlimen untuk mengubal undang-undang sedia ada bagi mewujudkan hukuman alternatif kepada pesalah, kata seorang pengamal undang-undang.
Peguam Ahmad Shamil Azad Abdul Hamid, yang menyifatkan pemansuhan hukuman itu boleh memberi peluang kepada pesalah untuk berubah ke arah lebih baik, berkata bagaimanapun hukuman alternatif haruslah setimpal dengan kesalahan yang dilakukan selain dapat memberi pengajaran kepada masyarakat.
"Bagi kesalahan berat, satu hukuman pemenjaraan panjang adalah hukuman gantian bertepatan terutama jika hukuman itu ditambah dengan sebatan.
"Rata-rata pesalah yang dituduh di mahkamah lebih gerun terhadap hukuman sebatan dan kebanyakannya akan memilih untuk dikenakan hukuman penjara lebih lama berbanding bilangan sebatan yang tinggi," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar hari ini bahawa kerajaan bersetuju memansuhkan hukuman mati mandatori di negara ini dengan hukuman gantian tertakluk kepada budi bicara mahkamah.
Wan Junaidi dalam kenyataan itu memaklumkan keputusan tersebut dicapai susulan pembentangan Laporan Kajian Hukuman Gantian Terhadap Hukuman Mati Mandatori oleh beliau pada mesyuarat Jemaah Menteri pada 8 Jun lepas.
Beliau berkata Jemaah Menteri juga bersetuju agar penelitian dan kajian lanjut dilaksana berkaitan cadangan hukuman gantian terhadap 11 kesalahan yang membawa hukuman mati mandatori, satu kesalahan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 (Akta 234) dan 22 kesalahan yang membawa hukuman mati tetapi dengan budi bicara mahkamah.
Ahmad Shamil percaya langkah menggantikan hukuman mati mandatori dengan pemenjaraan panjang serta sebatan dapat memberi impak dalam usaha mencegah pesalah daripada mengulangi kesalahan itu.
Bekas majistret itu berkata pendekatan 'an eye for an eye' dalam undang-undang sudah lama menjadi perkara yang dihindari dalam menetapkan hukuman bagi sesuatu kesalahan terutama dalami kalangan negara maju dan pendekatan yang lebih diikuti oleh masyarakat dunia adalah pendekatan pemulihan.
Beliau turut mencadangkan agar kerajaan memperbaiki infrastruktur penjara bagi mengelakkan kesesakan susulan pertambahan banduan dikenakan hukuman penjara termasuk mereka yang diperintah menjalani tempoh pemenjaraan panjang.
Penganalisis jenayah Kamal Affandi Hashim pula berpendapat pemansuhan hukuman mati mandatori bermakna hukuman tertinggi yang boleh dikenakan kepada pesalah adalah penjara seumur hidup bagi kesalahan berjadual.
"Saya yakin apabila kerajaan membuat satu-satu keputusan, ia dilakukan dengan prosedur tadbir urus yang telus dan bukan berdasarkan desakan mana-mana pihak. Ia tentu telah mengambil kira pelbagai sudut pandang pemegang taruh yang berkelayakan.
"Kebaikan pembatalan ini adalah perubahan kedudukan Malaysia dalam skor hal-hal imigresen dan piawaian hak asasi antarabangsa. Walaupun demikian, ia juga bermakna kapasiti penjara perlu diberikan perhatian jika jumlah banduan penjara seumur hidup bertambah," katanya.
Beliau juga percaya pemansuhan hukuman mati mandatori telah dikaji dengan teliti termasuk kesan limpahan.
"Mengambil kira faktor itu, pada hemat saya, ia tidak mempunyai relevan terhadap pertambahan kes kerana isunya di sini adalah berkaitan pengurusan banduan.
"Kita harus akur bahawa walaupun (ditukar) bentuk hukuman, kes jenayah seperti pengedaran dadah tetap akan berlaku seperti sebelumnya. Ia tidak mempunyai kesan jika penjenayah sudah pun bertekad melaksanakan niat jenayah itu," katanya.
-- BERNAMA





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo