NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan bantu suri rumah hasil sumber makanan sendiri


BACHOK: Kerajaan komited melahirkan golongan suri rumah yang mampu menghasilkan sumber makanan sendiri bagi menjana pendapatan keluarga dan meningkat taraf sosioekonomi.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Dato’ Seri Rina Harun berkata, bagi tujuan itu pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) menerusi projek tanaman sayur hidroponik.

Katanya usaha itu melibatkan wanita untuk memperkasakan golongan terbabit dalam bidang usahawan tani melalui pelbagai insentif dan latihan.

“Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat sentiasa meneruskan usaha memperkasakan wanita di negara ini supaya mereka mencapai tahap yang unggul dan terbilang.

“Kita banyak menyediakan platform kepada usahawan wanita, suri rumah dan ibu tunggal untuk merancakkan ekonomi keluarga,” katanya selepas merasmikan Program Tinjauan Projek Tanaman Sayur Secara Hidroponik dan Tanaman Hijau oleh Komuniti Wanita di Rumah Tamu Bachok di Beris Kubor Besar di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Setiausaha Kementerian, Dato’ Dr Maziah Che Yusoff; Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA), Dato’ Kamarudin Md Nor dan Adun Pantai Irama, Mohd Huzaimy Che Husin.

Program Tinjauan Projek Tanaman Sayur Secara Hidroponik dan Tanaman Hijau dilaksanakan menerusi kerjasama strategik dengan KADA yang membuat pemilihan peserta.

Rina berkata, bagi projek tanaman hidroponik dan tanaman hijau itu, lima peserta menjadi perintis di Kelantan dan akan dikembang kepada 500 peserta yang telah menghadiri kursus dianjur KADA.

“Kita juga bercadang untuk mengembangkan projek ini kepada wanita di seluruh negara untuk memastikan mereka memperolehi pendapatan bagi membantu membangunkan ekonomi keluarga.

“Saya percaya peranan wanita boleh diperkasa dalam bidang pertanian moden sebagai satu kerjaya pilihan yang boleh memberi pendapatan dan memperkasakan ekonomi wanita,” katanya.

Menurutnya juga kerjasama turut diadakan dengan lebih 20 kementerian dan agensi kerajaan lain antaranya Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Program Successful Women.

Selain itu kerjasama dengan Perbadanan Nasional Berhad (PNS) bagi program Entrepreneurship Engagement Talent (SWEET) dan Program TemanNita – bersama Tekun Nasional (TEKUN).

Rina juga berkata, usaha KADA bersama komuniti wanita di sini akan dilibatkan lebih ramai lagi wanita. – HARAKAHDAILY






............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo