NOTIS:

Belum ada lagi....

Orang bandar jangan abai maqasid syariah

0


SAUDARA PENGARANG,

SELASA ini umat Islam akan menyambut Hari Raya Aidilfitri. Tarikh itu adalah kurniaan Allah SWT kepada umat Islam sebagai hari kemenangan menundukkan hawa nafsu dan dapat menahan diri daripada lapar dan dahaga sepanjang Ramadan.

Tahun ini pastinya keterujaan menyambut 1 Syawal sangat dinanti-nantikan setelah dua tahun kita tidak dapat beraya bersama keluarga dan sahabat handai kerana Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berikutan pandemik Covid-19.

Mulai 1 April lalu, kerajaan mengisytiharkan negara memasuki fasa peralihan endemik dan tiada lagi sekatan untuk merentas negeri, daerah dan kawasan.

Justeru, tradisi balik kampung akan meningkat menjelang saat-saat menyambut Hari Raya Aidilfitri.

Orang bandar dan mereka di perantauan yang masih mempunyai ibu bapa dan saudara-mara di kampung akan berpusu-pusu balik beraya.

Sudah tentu amalan mulia ini akan memeriahkan lagi suasana sambutan Hari Raya Aidilfitri. Namun, di sebalik kegembiraan itu, usah diabaikan aspek keselamatan keluarga, rumah dan harta benda.

Kesedaran mengenai aspek keselamatan penting supaya dapat mengelak kejadian tidak diingini. Pastinya kita tidak mahu melihat perayaan ini bertukar menjadi hari berdukacita disebabkan kemalangan yang berlaku ke atas diri kita.

Menjaga keselamatan mesti bermula sebelum kita meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung halaman.

Biasanya penggunaan peralatan elektrik bertambah pada musim perayaan. Justeru, elakkan sambungan pendawaian elektrik sesuka hati demi mengelak sebarang kebakaran.

Ketika meninggalkan rumah untuk balik kampung, pastikan semua suis peralatan elektrik dimatikan dan plag dicabut.

Walaupun langkah-langkah ini kelihatannya mudah tetapi ramai yang mengabaikannya sehingga boleh mengundang padah.

Sebaiknya mereka yang akan meninggalkan rumah sempena cuti Hari Raya Aidilfitri melapor atau memaklumkan ke balai polis berhampiran tempat kediaman anda.

SABAR

Ini penting bagi memudahkan pihak polis membuat pemantauan dan rondaan di kawasan perumahan anda.

Begitu juga ketika berada di jalan raya, aspek keselamatan mesti diberikan perhatian untuk mengelak berlakunya sebarang kemalangan.

Sikap mematuhi peraturan jalan raya perlu dititikberatkan, sekurang-kurangnya elak melakukan kesalahan utama seperti melanggar lampu isyarat, memotong di garisan berkembar, menggunakan telefon bimbit, memotong barisan, memotong di kawasan berbahaya dan menggunakan lorong kecemasan.

Selain itu, jangan mengekori kenderaan di hadapan terlalu dekat, elak menghimpit kenderaan lain untuk memotong dan mematuhi had laju ditetapkan serta sentiasa berwaspada ketika pejalan kaki menyeberang jalan raya.

Jangan memandu dalam keadaan mengantuk dan berhenti di kawasan rehat untuk rehat atau tidur sebentar bagi menghilangkan mengantuk.

Pematuhan kepada aspek keselamatan jalan raya ini amat bergantung kepada sifat kesabaran dan ketenangan ketika memandu.

Sikap bertolak ansur ketika berada di jalan raya juga penting dan mesti menjadi amalan bagi mengelak sebarang perkara tidak diingini.

Bukankah ibadah puasa mendidik kita dengan sifat-sifat tersebut? Justeru, ia sepatutnya kekal dalam diri kita semasa memandu di jalan raya supaya nyawa dan harta benda terselamat.

Sayugia difahami bahawa menjaga nyawa dan harta benda itu adalah sebahagian daripada maqasid syariah yang mesti diberi perhatian oleh umat Islam. – UTUSAN

MOHD. AYOP ABD. RAZID, Selayang Bharu, Selangor







............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo