NOTIS:

Belum ada lagi....

Keselamatan kanak-kanak perlu kerjasama semua pihak

0

Rina menerima kunjungan Amanda (tengah) dan Amalina (kanan sekali).

KUALA LUMPUR: Perlindungan dan keselamatan kanak-kanak terus mendapat tumpuan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata, dua perkara itu menjadi topik perbincangan dalam pertemuan dengan wakil Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) ke Malaysia dan wakil khas ke Brunei, Amanda Bissex serta Pegawai Perlidungan Kanak-kanak UNICEF, Amalina Annuar, hari ini.

Rina berkata, pertemuan dimanfaatkan untuk membincangkan beberapa perkara, khususnya dalam memastikan penambahbaikan bidang kerja sosial dengan penggubalan Rang Undang-Undang Pekerja Sosial (RUU PKS) yang kini pada peringkat terakhir semakan.

"Turut dibincangkan tindakan yang diambil kementerian terhadap pusat-pusat jagaan seperti yang dibincangkan semasa sesi menghadap kepada Duli Yang Amat Mulia Mejar Jeneral Tunku Ismail Ibni Sultan Ibrahim dan Yang Amat Mulia Che Puan Besar Khaleeda binti Bustamam tempoh hari.

"Alhamdulillah banyak usaha yang dilaksanakan di bawah kementerian mendapat pengiktirafan UNICEF. Antaranya program pilot Family Based Care dalam memastikan kanak-kanak di institusi di bawah seliaan Kementerian dapat turut merasai kehidupan mempunyai ibu dan bapa," katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini. 

Katanya, banyak perkara yang dibincangkan hari ini adalah usaha bersama di antara KPWKM dan UNICEF yang boleh dilaksanakan untuk memperkasa program perlindungan terhadap kanak-kanak di Malaysia.

"Terkini, melalui kerjasama Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) bersama UNICEF satu modul sokongan buat ibu bapa seperti ParentText Chatbot App dihasilkan dan insya-Allah akan dilancar secara online pada 1 Jun ini.

"Banyak tips yang boleh dipelajari oleh ibu bapa, terutama buat ibu bapa muda hari ini untuk memantau perubahan sikap anak-anak, agar tindakan yang sesuai dapat diambil lebih awal," katanya.

Rina berkata, beliau turut berkongsi inisiatif lain yang dilaksanakan KPWKM bagi membanteras jenayah seksual kanak-kanak seperti Penubuhan Jawatankuasa Bersepadu Pengurusan Isu-Isu Sosial Kanak-Kanak di media sosial. 

"Jawatankuasa ini yang dianggotai tenaga pakar dari polis, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu berkepentingan diaktifkan dengan penganjuran kempen dan program advokasi bersepadu membabitkan isu keselamatan kanak-kanak di sosial media. 

"Kerjasama dengan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual, Wanita dan Kanak-Kanak (D11), Bukit Aman langkah strategik bagi memastikan keselamatan kanak-kanak sentiasa terjamin," katanya. 

Rina berkata, melalui kerjasama ini, jenayah membabitkan kanak-kanak akan disiasat secara menyeluruh oleh pasukan D11, manakala proses mendapatkan perlindungan sementara bagi mangsa dibantu Jabatan Kebajikan Masyarakat. 

"Insya-Allah, banyak yang sedang saya usahakan untuk memastikan keselamatan dan perlindungan kanak-kanak di Malaysia ini sentiasa ditambah baik dan yang pasti ia memerlukan usaha semua pihak," katanya.



Sumber | BH Online





............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo