NOTIS:

Belum ada lagi....

Kenapa isu air Kelantan jadi sasaran?

0


BEBERAPA pihak sebenarnya telah menghidu pelan mitigasi Kerajaan PAS Kelantan terhadap penyelesaian isu air AKSB setelah dua dekad dinafikan bantuan kewangan oleh Kerajaan Umno sebelum ini.

Seperti biasa setelah beberapa langkah diambil termasuk penyelesaian melalui penglibatan secara langsung YB Menteri Alam Sekitar dan Air, beberapa pihak berkepentingan politik  dilihat galak memanipulasi isu rakyat ini secara tidak adil.

Umno yang suatu ketika dahulu menjadi dalang menyusahkan Kerajaan PAS di Kelantan melalui campur tangan politik dalam isu ini nampaknya bersungguh hari ini menutup kesilapan lalu.

Tidak sahaja Umno, seorang bekas Exco Kerajaan Negeri suatu ketika dahulu yang telah menyertai PAN tapi nampak berasingan pendirian daripada parti yang disertai juga nampaknya galak mengeluarkan soalan. 

Dalam 15 perenggan siri tuduhan menyerang Kerajaan Kelantan dalam isu air, kebanyakan 10 daripada perenggan itu adalah soalan. Sehingga ada ketika tajuk pun diletak tanda soal.

Atas tujuan tuduhan dalam bentuk soalan sebegitu dibuat? Adilkah membuat tuduhan dengan soalan yang nampak seolah macam tahu tapi sebenarnya hanyalah soalan rambang?

Benarkah bahawa ‘beliau’ telah menghidu komitmen AKSB hari ini ke arah penyelesaian dengan kerjasama erat kementerian yang Menterinya daripada PAS?

Benarkah ‘beliau’ juga sedang ‘memijak’ usaha AKSB yang diuruskan oleh Kerajaan Negeri hari ini sebagai loncatan politik simpati rakyat demi kepentingan peribadi hanya demi kerana beliau juga tahu kerja sekarang perlukan masa dek kerana sekatan dua dekad?

Jika beliau boleh sahaja dibekalkan gambar kononnya ‘staff AKSB’ yang menghantarnya, mungkinkah beliau telah dibocorkan juga usaha-usaha yang memerlukan masa sedang diusahakan AKSB?

Segalanya mungkin tapi yang pasti semua tuduhan telah dengan jelas dan berintegriti (Kenyataan Media Unit Komunikasi Korporat Pejabat Pengurus Besar AKSB bertarikh 16 Mei 2022), tanpa tanda soal menerangkan situasi sebahagian projek AKSB terkini sebagaimana berikut:

1. Telaga jejari untuk Loji Rawatan Air (LRA) Merbau Chondong berjaya beroperasi pada kadar rekabentuk (17 juta liter sehari-JLH);

2. Telaga jejari untuk LRA Wakaf Bharu beroperasi pada kadar 24 JLH. Bagi meningkatkan pengeluaran LRA Wakaf Bharu, air mentah tambahan diperolehi dari telaga tiub dan bukannya air sungai.

3. Telaga jejari untuk LRA Kempung Chap beroperasi pada kadar 11 JLH;

4. Terdapat dua telaga jejari untuk LRA Kampung Telok dan berjaya beroperasi pada kadar rekabentuk 32 JLH. Kapasiti rekabentuk LRA Kampung Telok adalah 30 JLH tetapi pada masa ini hanya berupaya menghasilkan air terawat menggunakan sistem rawatan ozon sebanyak 10 JLH sahaja yang menepati piawai Kementerian Kesihatan Malaysia.

Semuanya berkait langkah penyelesaian, sebagai sebuah anak syarikat milik Kerajaan Negeri Kelantan yang kakitangannya juga adalah pekerja sebagaimana kita yang punyai tanggungjawab KPI yang perlu ditunaikan.

Sememangnya tanggungjawab mereka yang berkerja dengan orang yang hanya tahu menyoal tidak sama. Sama sekali tidak sama.

Tipulah jika dimomokkan kerajaan tidak memberikan tumpuan pengurusan air di Kelantan atau AKSB langsung tiada kepakaran mengurus. 

AKSB sedang giat melaksanakan projek yang telah diluluskan pinjaman oleh PAAB bagi tempoh OP4 (4th Operating Period: 2021-2023) untuk meningkatkan bekalan air terawat kepada pengguna-pengguna AKSB melalui pelaksanaan program pengurangan air tak terhasil (non-revenue water – NRW) dan pembangunan fasiliti perkhidmatan bekalan air awam terawat yang baharu.

Apa lojiknya sebuah kerajaan dan syarikat yang mempunyai rakyat ramai dengan pelbagai kepakaran dikatakan tidak kompeten. Penghinaan apakah ini?

Salam hormat.

MOHAMAD KAMAL MOHAMED
Ketua Pemuda
Dewan Pemuda PAS Negeri Kelantan – HARAKAHDAILY 18/5/2022




............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo