NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

BNM putus naikkan kadar OPR

KUALA LUMPUR: Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) pada mesyuaratnya hari ini memutuskan untuk menaikkan Dasar Semalaman (OPR), yang menjadi penanda aras rujukan kadar faedah pinjaman domestik sebanyak 25 mata asas kepada 2.00 peratus.

Kadar tertinggi dan terendah koridor bagi OPR turut dinaikkan masing-masing kepada 2.25 peratus dan 1.75 peratus.

OPR sebelum ini berada pada paras 1.75 peratus sejak 7 Julai 2020.

Bank pusat dalam kenyataannya berkata, pembukaan semula ekonomi global berterusan serta keadaan pasaran pekerja yang bertambah baik terus menyokong pemulihan kegiatan ekonomi.

Ia berkata, hal ini mengurangkan sebahagian daripada kesan konflik ketenteraan di Ukraine dan langkah-langkah pembendungan yang ketat di China.

Katanya, tekanan inflasi telah meningkat secara mendadak disebabkan oleh kenaikan harga komoditi, rantaian bekalan yang tertekan dan keadaan permintaan yang kukuh, khususnya di Amerika Syarikat (AS).

"Kesannya, beberapa bank pusat dijangka membuat pelarasan pada penetapan dasar monetari mereka pada kadar yang lebih pantas bagi mengurangkan risiko inflasi.

"Prospek pertumbuhan global akan terus dipengaruhi oleh perkembangan berhubung dengan konflik di Ukraine, COVID-19, keadaan rantaian bekalan global, kejutan harga komoditi dan ketidaktentuan pasaran kewangan," katanya dalam satu kenyataan.

Bagi ekonomi Malaysia, BNM berkata, penunjuk terkini menunjukkan pertumbuhan yang lebih kukuh, didorong oleh permintaan dalam negeri yang lebih mantap dalam keadaan pertumbuhan eksport yang mampan.

Ia berkata, pasaran pekerja terus disokong oleh kadar pengangguran lebih rendah, penyertaan tenaga kerja lebih tinggi dan prospek pendapatan yang lebih baik.

Katanya, peralihan ke fasa endemik pada 1 April 2022 akan memperkukuh kegiatan ekonomi, sejajar dengan pelonggaran sekatan selanjutnya dan pembukaan semula sempadan antarabangsa.

"Aktiviti dan prospek pelaburan juga bertambah baik, disokong

oleh realisasi projek berbilang tahun dan prospek pertumbuhan yang positif.

"Bagaimanapun, risiko terhadap pertumbuhan masih wujud, termasuk

pertumbuhan global yang lebih lemah daripada jangkaan, konflik geopolitik

yang berterusan, gangguan rantaian bekalan yang bertambah teruk dan

perkembangan buruk berhubung dengan COVID-19," katanya.

Bank pusat memaklumkan, inflasi keseluruhan diunjurkan berpurata antara 2.2 peratus hingga 3.2 peratus pada 2022.

Katanya, memandangkan peningkatan kegiatan ekonomi dalam keadaan tekanan kos yang berlarutan, inflasi asas seperti yang diukur oleh inflasi

teras dijangka meningkat untuk mencatatkan purata antara 2.0 peratus hingga 3.0 peratus pada 2022.

"Namun, tekanan harga menaik akan dibendung sebahagiannya oleh kawalan harga yang sedia ada dan lebihan kapasiti yang berterusan dalam ekonomi.

"Prospek inflasi terus dipengaruhi oleh perkembangan harga komoditi global yang berpunca terutama daripada konflik ketenteraan yang berterusan di Ukraine serta gangguan berkaitan bekalan yang berlanjutan, di samping langkah dasar dalam negeri mengenai harga yang ditadbir," katanya.

BNM menambah, sepanjang krisis COVID-19, OPR dikurangkan sebanyak 125 mata asas secara kumulatif kepada paras terendah yang belum pernah dicatatkan sebelum ini, iaitu 1.75 peratus, bagi memberikan sokongan terhadap ekonomi.

Ia menjelaskan, keadaan pandemik yang pertama kali berlaku sehingga memerlukan tindakan sedemikian kini telah pun reda.

"Dengan pertumbuhan dalam negeri yang semakin kukuh, MPC mengambil keputusan untuk mula mengurangkan tahap akomodasi monetari.

"Pengurangan ini akan dilaksanakan secara terkawal dan

beransur-ansur bagi memastikan dasar monetari kekal akomodatif untuk

menyokong pertumbuhan ekonomi yang mampan dalam persekitaran harga yang stabil," katanya.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo