NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peluncur udara maut: Tapak Sukan Udara Kuala Kubu Bharu diarah tutup 3 minggu


Mangsa tersangkut di pokok pada ketinggian 12 meter ketika melakukan aktiviti luncur udara di Bukit Batu Pahat, semalam. - Foto ihsan JBPM

KUALA LUMPUR: Tapak Sukan Udara Kuala Kubu Bharu di Bukit Batu Pahat, dekat sini, diarahkan tutup selama tiga minggu, berkuat kuasa serta-merta.

Arahan dikeluarkan Persekutuan Sukan Udara Malaysia (MSAF) bagi membolehkan siasatan dijalankan berhubung insiden seorang lelaki meninggal dunia ketika melakukan aktiviti luncur udara (paragliding) di Bukit Batu Pahat, Kuala Kubu Bharu, semalam.

Presiden MSAF, Mohd Nurhaqimy Mohd Ismail, berkata hasil siasatan awal pasukan siasatan khas badan itu mendapati ketika kejadian, cuaca adalah baik dan peralatan sukan luncur udara yang digunakan juga diselenggara serta berada dalam keadaan memuaskan.

"Bagaimanapun, pasukan siasatan khas MSAF mendapati terdapat ruang penambahbaikan, terutama dari sudut prosedur operasi standard (SOP) di tapak sukan dan operasi tindak cepat dalam usaha menyelamat pemain luncur udara.

"Sehubungan itu, MSAF mengambil keputusan mengarahkan penutupan Tapak Sukan Udara Kuala Kubu Bharu selama tiga minggu bagi memberi ruang pemurnian semula SOP supaya kejadian seperti ini tidak berulang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Nurhaqimy berkata, MSAF menzahirkan perasaan amat dukacita dan merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Dr Muhammad Fahad Khalid, 44, yang maut dalam kejadian itu.

"Beliau adalah warga Pakistan dan pemegang lesen Juruterbang Lanjutan (PL2) berdaftar serta diperakui oleh MSAF, dengan memiliki pengalaman sekurang-kurang 200 kali penerbangan sejak mula aktif pada 2020.

"MSAF turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pihak, termasuk penduduk sekitar, pemain sukan luncur udara, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta mereka yang membantu dalam usaha menyelamatkan mangsa," katanya.

Semalam, BH melaporkan Muhammad Fahad disahkan meninggal dunia di tempat kejadian setelah ditemukan tersangkut di pokok balak pada ketinggian 12 meter (m) di tepi cerun bukit.

Pengarah JBPM Selangor, Norazam Khamis, dilaporkan berkata mangsa yang dijumpai kira-kira jam 4.50 petang didapati patah kaki serta mengalami pendarahan.

Norazam berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 4.56 petang, sebelum sepasukan tujuh anggota bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kubu Bharu dikejarkan ke lokasi.

Pasukan mengambil masa kira-kira dua jam untuk menurunkan mangsa dari pokok balak terbabit usaha menyelamat turut dibantu penduduk Orang Asli di sekitar kawasan kejadian.

Bagaimanapun, mangsa disahkan sudah meninggal dunia di lokasi kejadian sebelum mayatnya dibawa ke Hospital Kuala Kubu Bharu.

Sumber | BH Online


............oo000oo...........
PENAFIAN
  1 Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                         ...oo...

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo