NOTIS:

Belum ada lagi....

Majlis Keselamatan PBB digesa ambil tindakan terhadap Myanmar


Majlis Penasihat Khas Myanmar (SAC-M) menyeru Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk bertindak balas terhadap krisis yang semakin meningkat di Myanmar.

SAC-M, kumpulan bebas pakar antarabangsa yang bekerja untuk menyokong rakyat Myanmar dalam perjuangan mereka untuk hak asasi manusia, keamanan, demokrasi, keadilan dan akauntabiliti, berkata Konsensus Lima Perkara (5PC) Asean yang dicapai antara pemimpin Asean dan Tentera Myanmar dilihat gagal, tanpa sebarang kemajuan memberangsangkandicapai ke arah pelaksanaannya sejak 12 bulan yang lepas

Ahli SAC-M, Chris Sidoti, berkata Majlis Keselamatan PBB menyokong Asean dan konsensus berkenaan tetapi usaha itu tidak berjaya.

“Kini tiada pilihan lain selain Majlis Keselamatan PBB sendiri memimpin dan mengambil tanggungjawab untuk bertindak ke atas Myanmar.

"Majlis Keselamatan PBB tidak boleh terus mengabaikan laungan rakyat Myanmar kepada tindakan antarabangsa bagi menamatkan keganasan tentera,” katanya dalam satu kenyataan.

Pemimpin junta tentera Myanmar, Min Aung Hlaing.

Sementara itu, SAC-M menggesa Asean untuk kekal menolak junta tentera daripada menyertai mesyuarat Asean akibat kegagalan 5PC.

SAC-M juga menyeru Asean untuk bekerjasama dengan Kerajaan Perpaduan Negara (NUG) Myanmar untuk membangunkan pelan hala tuju baru ke arah menyelesaikan krisis, bermula dengan pemberian segera bantuan kemanusiaan rentas sempadan.

Setahun selepas menerima pakai 5PC, Asean gagal memenuhi ikrarnya untuk mengambil langkah bermakna ke arah menekan junta untuk menamatkan pencabulan hak asasi manusia.

Pada 24 April tahun lalu, 5PC telah dicapai di Jakarta, dua bulan selepas tentera Myanmar melancarkan rampasan kuasa dan serangan berterusan ke atas penduduk Myanmar yang mengadakan bantahan.

5PC yang dipersetujui Panglima Tentera Min Aung Hlaing, adalah untuk menghentikan serta-merta keganasan; dialog yang membina antara semua pihak yang berkenaan; pelantikan duta khas Pengerusi Asean untuk memudahkan pengantaraan dialog; pemberian bantuan kemanusiaan melalui Pusat AHA, dan lawatan utusan khas ke Myanmar untuk bertemu semua pihak.

Sehingga 11 April, Pejabat Penyelarasan Hal Ehwal Kemanusiaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OCHA) Myanmar berkata seramai 566,100 orang hilang tempat tinggal akibat pertempuran dan keadaan tidak aman sejak rampasan kuasa Februari 2021.

Ia juga menyatakan kira-kira 346,000 orang telah dipindahkan terutamanya di Rakhine, Kachin, Chin dan Shan akibat konflik.

Menurut organisasi hak asasi manusia Pertubuhan Bantuan untuk Tahanan Politik, sekurang-kurangnya 1,780 orang awam terbunuh manakala lebih 10,000 orang ditangkap dan hampir 1,000 dipenjarakan sejak rampasan kuasa.

- Bernama


............oo000oo...........
PENAFIAN 1
  Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                            ...............

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo