NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPDNHEP pantau kenaikan harga tepung

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Rosol Wahid menyantuni pengunjung ketika hadir meninjau keadaan di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) selepas melancarkan Program Jualan Malaysia ‘Jom Shop Raya’ @ Jalan TAR hari ini. - Foto BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memantau kenaikan harga tepung di pasaran daripada jenis bukan subsidi, bagi memastikan pengguna tidak terbeban.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid, berkata kenaikan itu memang sudah diramalkan kerana ia diimport dari luar negara seperti Amerika Syarikat, Ukraine dan Russia.

Sebelum ini, katanya, ada permohonan daripada pengilang gandum untuk menaikkan harga namun ia masih di peringkat kajian kementeriannya.

"Jadi bila berlaku krisis di Ukraine, memang kita meramalkan ini akan berlaku. Untuk makluman, gandum terdiri daripada dua jenis iaitu bersubsidi dan bukan subsidi. Yang naik ini belum ada subsidi, mereka (pengilang) memohon supaya yang ini juga diberi kenaikan," katanya pada sidang media selepas melancarkan Program Jualan Malaysia (PJM) 2022 di Jalan Tuanku Abdul Rahman hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KPDNHEP Azman Mohd Yusof dan Pengarah PDNHEP Kuala Lumpur, Ariffin Samsudin.

Ditanya mengenai barangan sepanjang musim perayaan, beliau berkata pengguna tidak perlu bimbang kerana bekalan mencukupi.

"Barang di pasaran adalah mencukupi, jadi tidak perlu bimbang, itu jaminan yang diberi kepada kita. Semua ini kita akan bawa dalam Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) hujung minggu ini," katanya.

Beliau turut mengulas mengenai kos alat ganti yang dikatakan meningkat dan meminta orang ramai membuat aduan kepada KPDNHEP.

"Kalau ada kes sebegitu, maklum kepada kita. Kita boleh siasat sama ada ia berlaku atau tidak,sama ada wujud caj berlebihan dan ketiga sama ada produk itu tulen atau tiruan," katanya.

Mengenai PJM 2022, beliau berkata, pihaknya bersetuju menyalurkan sumbangan sebanyak RM300,000 termasuk baucar hadiah berjumlah RM200,000 kepada pembeli menerusi program promosi berkenaan.

"Setiap pembelian RM100 akan mendapat baucar RM20 sehingga peruntukan itu habis digunakan. Ia membabitkan semua peniaga di bawah BARRA dan dimaklumkan terdapat lebih 70 peniaga yang terbabit," katanya.

Sumber | BH Online



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo