NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes sihir antara kesalahan bakal didakwa ikut enakmen baharu di Kelantan

KOTA BHARU: Perbuatan menyihir individu atau menggunakan ilmu tertentu dengan tujuan jahat adalah antara kesalahan yang boleh didakwa di Mahkamah Syariah Kelantan menggunakan peruntukan undang-undang mengikut Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang diluluskan.

Menurut Timbalan Pengarah Operasi Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan (JHEAIK) Hasnan Ramli, kes sihir berkenaan antara kesalahan jenayah syariah yang direkod sepanjang Januari dan Februari tahun ini.

Menurutnya kes berkenaan sedang disiasat dan akan didakwa di mahkamah syariah menggunakan enakmen yang baharu.

Dua pendakwaan baharu melibatkan kes sihir sepanjang tempoh Januari hingga Februari tahun ini.

"Kes sedang disiasat dan jika ada bukti akan dibawa ke mahkamah," katanya.
Selain itu sepanjang tempoh berkenaan terdapat lima kes berkaitan gangguan rumah tangga atau menyebabkan rumah tangga tidak aman yang didakwa dengan mengguna pakai enakmen berkenaan.

"Sepanjang tempoh dua bulan itu juga, 70 kes dalam proses siasatan dan dalam proses pendakwaan dengan mengguna pakai enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019," katanya ketika ditemui di sini.

Bagi kesalahan hamil luar nikah, lima kes direkodkan dalam tempoh dua bulan tahun ini, manakala 58 kes sepanjang tahun lepas.

Katanya lagi, menghasut perempuan atau suami ke arah penceraian dan pergolakan juga dianggap satu kesalahan yang boleh didakwa mengikut enakmen baharu itu.

"Menghasut sama ada suami atau isteri dengan tujuan merosakkan hubungan suami isteri dianggap satu kesalahan yang mana sejumlah enam kes direkodkan tahun lepas," katanya.

Menurut Hasnan lagi, sejumlah 33 kes khalwat direkodkan dalam tempoh dua bulan tahun ini, manakala 196 kes pada tahun lalu.

Enakmen Kanun Jenayah Syariah (I) 2019 yang diluluskan di Dewan Undangan Negeri Kelantan dan mendapat perkenan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V memperuntukkan hukuman lebih berat berbanding sebelumnya.

Enakmen tersebut mengambil masa enam tahun untuk kajian bagi tujuan penggubalan dan dibentangkan di sidang DUN pada 14 hingga 16 Oktober 2019 sebelum mendapat persetujuan diraja pada 14 Julai 2020 dan diwartakan pada 31 Disember 2020.

Tambahnya, enakmen ini memilih kaedah pelaksanaan hukuman berbentuk retributif dan restoratif bagi memulih dan memberi kesedaran kepada pesalah syariah.

Sumber | Awani

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo