NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerjasama UMNO, PAS dalam MN terus diperkukuh - Kata Annuar


KANGAR:
Kerjasama UMNO dan PAS dalam Muafakat Nasional (MN) masih terus wujud terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) akan datang.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Tan Sri Annuar Musa, berkata secara peribadinya beliau melihat ruang kerjasama UMNO dan PAS dalam MN itu bukan sekadar ada, sebaliknya banyak lagi yang boleh diusahakan demi pengukuhan kerjasama kedua-dua parti.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Ketereh berkata, ahli UMNO dan PAS pada peringkat akar umbi juga sudah membuang sikap kebencian akibat masalah hubungan antara kedua-dua parti sejak dulu, malah kini boleh bekerjasama baik demi perpaduan ummah.

"Tiada lagi sikap tuduh menuduh, memfitnah atau menyerang antara satu sama lain membabitkan kedua-dua parti, sebaliknya sudah boleh bekerjasama baik terutama bagi menghadapi PRU-15.

"Banyak ruang boleh dijana dan dirangka antara UMNO dan PAS, asalkan kita berusaha dengan niat baik, akan ada natijah yang baik selepas itu," katanya selepas melakukan kunjungan hormat bertemu Mursyidul Am PAS, Datuk Hashim Jasin di Kompleks PAS Negeri Perlis, di sini, hari ini.

Turut hadir, Pesuruhjaya PAS Perlis yang juga Ahli Dewan Undangan (ADUN) Sanglang, Mohd Shukri Ramli.

Annuar meluangkan masa hampir satu jam bertukar fikiran sambil membincangkan perkembangan politik semasa bersama Hashim di kompleks berkenaan, selain melihat proses menyiapkan bubur lambuk yang dilaksanakan sukarelawan PAS negeri di kompleks berkenaan.

Beliau berkata, kedua-dua parti akan rugi jika kerjasama MN ini tidak dapat diteruskan sehingga PRU-15 akan datang.

"Penubuhan MN dulu dibuat untuk membolehkan kita menguasai PRU-15, jadi jangan biarkan kerjasama ini berakhir, sebaliknya kukuhkan jalinan ini kekal sehingga PRU nanti," katanya.

Mengulas kenyataan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Seri Salahuddin Ayub yang mahu kepimpinan Pakatan Harapan (PH) berbincang dengan semua parti politik blok pembangkang menerusi kewujudan khemah besar blok pembangkang PH dan Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan UMNO dan Barisan Nasional (BN) secara satu lawan satu pada PRU-15, Annuar berkata, gesaan itu perkara biasa kerana setiap parti masih merangka pelbagai strategi bagi menghadapi PRU.

"Malah, kami dalam UMNO dan PAS juga masih berfikir, tetapi akhirnya parti masing-masing akan buat keputusan dan kita perlu akur serta patuh pada apa keputusan parti.

"Namun, sebelum keputusan dibuat, kita perlu sampaikan suara kita kepada pimpinan atasan, tetapi saya berpegang kepada semangat MN dan tidak mahu kerjasama ini berakhir begitu saja," katanya. - Berita Harian


............oo000oo...........
PENAFIAN 1
  Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.
                            ...............


No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo