NOTIS:

Belum ada lagi....

Solat tanpa penjarakan fizikal belum dibincang di kebanyakan negeri

0
Foto Hiasan

KUALA LUMPUR: Aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau yang boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal apabila negara memasuki Fasa 'Peralihan Ke Endemik' bermula 1 April ini, belum dibincangkan di kebanyakan negeri.

Di KEDAH, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah (JHEAIK), Datuk Mohd Yusri Md Daud, berkata ketetapan baharu mengenai perkara itu tertakluk kepada perkenan Sultan Kedah Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Almarhum Sultan Badlishah.

"Buat masa ini, mesyuarat bagi menentukan perkara itu masih belum diadakan," katanya.

Di PERAK, Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Mohd Yusop Husin, berkata perbincangan mengenainya akan diadakan dalam masa terdekat dan keputusannya akan dimaklumkan kelak.

Di PULAU PINANG, Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), Datuk Ir Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman yang juga Timbalan Ketua Menteri 1 Pulau Pinang berkata meskipun perbincangan belum dibuat, pihaknya bersedia untuk mengikut saranan berkenaan.

"Kami belum buat keputusan lagi berhubung aktiviti di masjid dan surau tanpa penjarakan fizikal, namun secara dasarnya jika itu (cadangan) yang disyorkan, kami akan ikut ke arah tersebut," katanya.

Di TERENGGANU, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata ketetapan berhubung pemansuhan penjarakan fizikal bagi solat jemaah di semua masjid dan surau di negeri itu masih belum diputuskan, dan menegaskan ia hanya boleh ditentukan dengan perkenan Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin.

Di PERLIS, Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Ruzaini Rais berkata kerajaan negeri menunggu perkenan Raja Perlis Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail berhubung kelonggaran baharu itu.

Di SARAWAK, Menteri bertanggungjawab Hal Ehwal Islam Sarawak Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata ketetapan solat jemaah tanpa penjarakan fizikal masih belum dibincangkan oleh Majlis Islam Sarawak (MIS).

Beliau berkata, buat masa ini, prosedur operasi standard (SOP) yang dikeluarkan MIS berkuat kuasa 7 Jan lepas berhubung aktiviti solat di masjid dan surau di Sarawak masih terpakai.

Bagaimanapun, di sebalik kebanyakan negeri masih belum membincangkannya, PAHANG menjadi satu-satunya negeri yang telah bermesyuarat bagi membincangkan perkara itu.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Datuk Ahmad Hairi Hussain ketika dihubungi memaklumkan ketetapan berhubung pemansuhan jarak bagi solat jemaah di negeri ini, telah dibincangkan dan perinciannya akan dimaklumkan kepada orang ramai selewat-lewatnya pada minggu depan.

Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan bahawa aktiviti solat berjemaah di masjid dan surau serta upacara sembahyang di rumah ibadat selain Islam, boleh dilaksanakan tanpa penjarakan fizikal bermula Fasa 'Peralihan Ke Endemik' 1 April ini.

Ismail Sabri berkata pelaksanaan dan SOP akhir untuk masjid atau surau tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.– BERNAMA



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo