NOTIS:

Belum ada lagi....

Pos Malaysia jadi rakan logistik rasmi MFL

0
Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan (dua kanan) dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer (tiga kanan) serta Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam (kanan) bergambar bersama sebagai tanda simbolik kerjasama antara kedua-dua pihak. - Foto ihsan Facebook MFL.

KUALA LUMPUR: Pos Malaysia sah menjadi rakan logistik rasmi Liga Bola Sepak Malaysia (MFL) selama dua tahun bermula tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Stuart Ramalingam berkata kerjasama itu menyaksikan Pos Malaysia menyokong penuh badan pentadbir Liga Malaysia (Liga M) itu, pasukan serta saingan Piala Sultan Haji Ahmad Shah, Liga Super dan Piala Malaysia.

"Mewakili Presiden MFL Datuk Ab Ghani Hassan, lembaga pengarah dan komuniti bola sepak, saya ingin mengucapkan selamat datang kepada Pos Malaysia ke Liga Malaysia 2022 serta 2023 dan sudah pasti MFL menyambut baik ketibaan mereka dalam merancakkan lagi saingan Liga Malaysia yang bakal bermula 4 Mac ini.

"Ikatan MFL dan Pos Malaysia sebenarnya sudah terjalin yang mana kedua-dua pihak bekerjasama dalam mengeluarkan setem edisi khas sempena 100 Tahun Piala Malaysia pada Disember tahun lepas dan sudah pasti penajaan ini membawa satu lagi kerjasama lebih dinamik," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Stuart berkata selain berusaha gigih memastikan rakyat Malaysia terus terhubung terutamanya sepanjang pandemik COVID-19, beliau percaya Pos Malaysia sudah mempunyai jalinan kukuh bersama peminat bola sepak negara, sebagai pelanggan dan kakitangan, sekali gus bakal menyemarakkan semangat komuniti bola sepak tanah air.

Katanya, MFL juga berbangga dapat menjalin kerjasama dengan peneraju perkhidmatan penghantaran negara yang akan menguruskan logistik bagi peralatan bola sepak serta barangan lain dengan berat melebihi 100 tan ke seluruh Malaysia.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer menyatakan rasa bangga dapat menjadi tulang belakang kepada semua pasukan bola sepak terutama dalam menyampaikan sokongan penting melalui penyediaan khidmat logistik terbaik bagi pertandingan Piala Sumbangsih, Liga Super dan Piala Malaysia.

"Kami amat gembira kerana dapat menghubungkan pula rakyat Malaysia melalui semangat yang dikongsi bersama iaitu cinta terhadap bola sepak. Kancah bola sepak Malaysia amat gemilang serta meriah dan Pos Malaysia juga komited dalam menyampaikan semangat dan cinta yang sama," katanya.

Perlawanan Piala Sumbangsih antara juara Liga Super 2021, Johor Darul Ta'zim (JDT) dan juara Piala Malaysia 2021, Kuala Lumpur City FC menjadi aksi pembuka tirai saingan Liga M 2022, yang akan berlangsung di Stadium Sultan Ibrahim di Iskandar Puteri, Johor, Sabtu ini.

- BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo