NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Peralatan judi, pelacuran dilupus

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya (dua dari kanan) bersama barang kes perjudian, pelacuran, DVD cetak rompak serta telefon bimbit klon yang dilupuskan, hari ini. - FOTO IHSAN PDRM

KUALA LUMPUR: Polis hari ini melupuskan 449 peralatan perjudian dan 110 barangan berkaitan pelacuran yang dirampas dalam serbuan di sekitar daerah Dang Wangi sejak Jun 2021 hingga 31 Januari lalu.

Semua peralatan perjudian dianggar bernilai RM150,000 dirampas menerusi 109 serbuan ke atas premis perjudian haram di sekitar daerah itu, termasuk sitaan wang tunai RM11,882.

Dalam tempoh sama, polis turut menyerbu 34 premis pelacuran dan merampas 110 peralatan pelacuran dianggar bernilai RM22,930 serta wang tunai RM400.

Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Noor Dellhan Yahaya, berkata bagi kes premis perjudian, sebanyak 109 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A(a) dan Seksyen 4B(a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Untuk kes premis pelacuran, katanya, sebanyak 34 kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 372B dan Seksyen 373 Kanun Keseksaan.

"Hasil serbuan juga, 20 premis perjudian dikenakan tindakan pemotongan bekalan elektrik oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) mengikut Seksyen 21A Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

"Selain itu, tiga premis pelacuran dirobohkan struktur dalaman yang dibina tanpa kebenaran dan sitaan dijalankan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL)," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Noor Dellhan berkata, ssemua barangan kes yang dirampas itu dilupuskan di hadapan Majistret Mahkamah Jalan Duta, hari ini.

Pihaknya turut melupuskan 33,262 keping cakera padat digital (DVD) cetak rompak yang dirampas Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Daerah Dang Wangi dianggar bernilai RM99,786 hasil serbuan dari 2008 hingga 2016.

"Turut dilupuskan ialah 1,345 telefon bimbit klon dianggar bernilai RM120,000 dalam serbuan 2010 dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam pada itu, katanya pihaknya sentiasa mengalu-alukan sebarang maklumat daripada orang ramai berkaitan kes perjudian dan pelacuran atau sebarang kes jenayah yang berlaku berhampiran mereka.

Maklumat boleh disalurkan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi di talian 03-26002222 atau Hotline Kuala Lumpur di talian 03-21159999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo